Penduduk masih belum berpindah setahun selepas ribut Sandy
Astro Awani
Oktober 30, 2013 08:55 MYT
Oktober 30, 2013 08:55 MYT
Setahun selepas ribut Sandy membadai pantai timur Amerika Syarikat, tempoh yang panjang pasca bencana alam itu belum cukup untuk memulihkan trauma mangsa-mangsa.
Malah selepas setahun ribuan masih berusaha membaiki kediaman dan premis masing-masing.
Tidak banyak yang dapat dilakukan dalam tempoh setahun lalu.
Rumah yang ranap dibadai angin kencang Sandy kekal kosong seperti padang jarak padang tekukur.
“Rumah ini semuanya kosong,” kata Michael Mazzucca yang berasal dari New Jersey.
Antara lain masalahnya ialah kewangan yang menghimpit.
“Secara jujurnya, kami pun tidak tahu jika kami mampu untuk memiliki rumah yang kami pernah duduk dulu,” tambah beliau.
“Penduduk tempatan kini berhadapan dengan pembayaran premium yang tinggi atau mereka harus berpindah ke kawasan lain,” jelas Timbalan Datuk Bandar New York City bahagian operasi Cas Holloway.
Sandy yang melanda Amerika Syarikat pada 29 Oktober tahun lepas menyebabkan kerugian sehingga 65 bilion dolar Amerika.
Ia meragut 181 nyawa selain Sandy turut memusnahkan beratus ribu buah rumah.