Penduduk Lahore rai kemenangan dua pemimpin
Astro Awani
Februari 10, 2024 12:55 MYT
Februari 10, 2024 12:55 MYT
LAHORE: Dua bekas Perdana Menteri Pakistan dan pesaingnya Nawaz Sharif dan Imran Khan mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya meskipun dicemari penangguhan keputusan dan serangan militan pada Jumaat.
Dalam pada itu, penduduk di Lahore meraikan kemenangan dua pemimpin kesayangan mereka di bandar itu semalam.
Salah seorang penyokong Nawaz Sharif, Rana Owais berkata, dia gembira bekas PM itu telah kembali ke negara dan berharap agar ada pembaharuan dalam pentadbiran di masa akan datang.
"Kami sangat gembira kerana Nawaz Sharif telah kembali ke negara. Kini, beliau telah kembali berkuasa dengan undi-undinya, dan kami mempunyai harapan besar daripadanya. Kami berharap beliau akan memenuhi harapan kami dan Pakistan akan kembali mara menuju kemajuan," kata Owais.
Dalam masa sama, Fazal Rehman juga berharap pentadbiran di bawah pimpinan Sharif akan lebih baik daripada sebelum ini dan terus bekerja keras untuk rakyat.
"Pimpinan Parti PML-N mengumumkan akan membentuk kerajaan campuran dengan kerjasama beberapa parti lain. Insya-Allah, Pakistan Muslim N akan membentuk kerajaan di Pusat, dan juga di wilayah Punjab.
"Mereka akan mentadbir lebih baik dari sebelumnya, Insya-Allah. Mereka sentiasa bekerja untuk kebaikan orang ramai; mereka telah membuat jalan raya dan banyak lagi perkara lain," katanya.
Sementara itu, penyokong Imran Khan, Allah Rakha berkata kemenangan belum lagi berpihak kepada Sharif memandangkan Imran Khan masih berada di dalam penjara.
"Setakat yang kita tahu, beliau (Sharif) belum menang, kerana Imran Khan dalam penjara. Pilihan raya sebenar hanya boleh diadakan apabila Imran Khan keluar. Ini tidak boleh dipanggil pilihan raya.
"Semua calon bebas milik Tehreek-e-Insaf (parti PTI Khan) telah menang dengan sia-sia. Ini adalah pilihan raya sebelah pihak, tetapi Imran Khan telah menang.Beliau patut dibebaskan," katanya.
Bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, mendakwa partinya - Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) - memenangi pilihan raya Pakistan.
Sharif mendakwa, PML-N muncul sebagai parti politik terbesar dalam pengundian kali ini, dan akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan lain untuk membentuk kerajaan gabungan selepas ia gagal meraih majoriti yang jelas.