Penduduk kampung resah bakau hilang berganti 'pulau sampah'

Agensi
Mac 3, 2022 18:33 MYT
Selain kesan kehilangan ikan, sampah-sarap itu juga berisiko memberi masalah kesihatan kepada masyarakat setempat.
SEMARANG: Penduduk sebuah kampung di Indonesia mengeluh apabila musim banjir membuatkan kawasan kediaman mereka dicemari kesan hamparan sampah yang terkumpul di muara Sungai Banjir Kanal Timur (BKT) Kota Semarang.
Bagaikan sebuah timbunan sampah sebesar padang bola sepak, warga tempatan di Kampung Tambakrejo, Tanjung Mas terpaksa berdepan dengan bukan sahaja pemandangan yang kotor malah masalah bau busuk dan juga ancaman kesihatan.
Sampah yang terkumpul dan kelihatan seperti sebuah pulau itu, menurut laporan Kompas.com, tidak hanya datang dari Kota Semarang, malah dari daerah lain terutama ketika musim hujan.
Setakat ini, longgokan sampah tersebut sudah setinggi 5 meter dari paras sungai, dan dipercayai semakin membukit.
Menurut ahli sebuah persatuan peduli alam sekitar, Iqbal Alm, kawasan longgokan itu pada awalnya merupakan sebuah kawasan bakau, yang memberi manfaat sebagai penampan ombak dan juga zon pembiakan hidupan akuatik.
"Namun, beberapa tahun lalu hutan bakau itu lenyap kerana projek pelebaran Sungai BKT. Kini, nelayan yang mencari hasil tangkapan di sini pasti geram kerana yang dapat hanyalah sampah,” ujarnya kepada Kompas.com.
Begitupun, perkara yang lebih buruk, menurut Iqbal adalah, kebanyakan sampah itu adalah dari jenis plastik selain pecahan kaca yang berbahaya.
Sebenarnya, komuniti tempatan dan sukarelawan mahasiswa pernah menjalankan aktiviti pembersihan di situ, namun usaha mereka disifatkan sia-sia kerana sampah baharu terus dibawa arus lalu terhimpun dan terus bertambah.
"Saya sudah sering menghantar foto dan aduan melalui laman web jabatan berkaitan mengenai masalah ini tapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya kesal.
Selain kesan kehilangan ikan, sampah-sarap itu juga berisiko memberi masalah kesihatan kepada masyarakat setempat. Penduduk tempatan percaya ikan yang berjaya ditangkap di kawasan itu sudah tercemar dengan mikroplastik sekali gus berbahaya jika dimakan manusia.
#sampah #Semarang #pencemaran #nelayan
;