Penduduk Indonesia bantah Hari Valentine's
AFP
Februari 14, 2013 17:13 MYT
Februari 14, 2013 17:13 MYT
Sebuah kumpulan agama di Indonesia hari ini menyuarakan bangkangan keras mereka terhadap sambutan hari kasih sayang ataupun Hari Valentine’s yang jatuh pada hari ini.
Kumpulan itu mendakwa sambutan menjurus kepada parti liar dan hubungan terlarang sebelum perkahwinan.
Bantahan itu dibuat susulan kepada desakan Timbalan Datuk Bandar Depok di pinggir Jakarta yang menggesa ibu-bapa tidak membenarkan anak mereka meraikan sambutan itu.
“Kami tidak mahu mengharamkan sambutan Valentine’s sepenuhnya tetapi ia pastinya bukan untuk golongan remaja,” kata jurucakap Depok.
Turut mengisytiharkan sambutan itu sebagai haram adalah ketua Pergerakan Barisan Pertahanan Islam Indonesia di Depok, Habib Idrus Al Gadhri yang turut berkata sambutan itu mengalakkan hubungan luar nikah.
“Ia juga adalah satu budaya Barat.”
Namun disebalik bantahan itu, pusat-pusat membeli belah, hotel dan restoran berterusan mempromosikan sambutan itu.
Sementara itu, bantahan turut diadakan di bandar Malang, Timur Jawa dimana sekumpulan remaja sekolah bertudung mengadakan bantahan terhadap sambutan hari Valentine's.
Bantahan dinamakan ‘Hari Bertudung’.
Kumpulan remaja itu turut berhasrat untuk mengadakan bantahan di beberapa bandar dengan mengedarkan risalah yang menerangkan bagaimana kaum wanita dan lelaki sepatutnya berpakaian, iaitu dengan menutup aurat.
Majlis Ulama Indonesia (MUI), badan Islam utama negara itu sebelum ini telah mengisytiharkan sambutan hari Valentine's sebagai haram.
Hampir 90 peratus jumlah penduduk Indonesia terdiri daripada mereka yang beragama Islam namun ramai di antara mereka berfahaman sederhana.