Penduduk hulur bantuan kepada mangsa menerusi #RoomForManchester
Kohilah Sekaran
Mei 23, 2017 13:05 MYT
Mei 23, 2017 13:05 MYT
KEMURAHAN hati penduduk Manchester menjadi cahaya kepada malam yang penuh tragedi di bandar itu.
Penduduk tempatan menghulurkan bantuan asas kepada mangsa letupan ketika konsert Ariana Grande menerusi hashtag #RoomForManchester di media sosial.
Kebanyakan mereka menawarkan penginapan kepada mangsa yang terkandas di bandar, manakala yang lain memberi perkhidmatan teksi secara percuma.
Ada juga yang memberi makanan dan keperluan lain seperti pengecas telefon bimbit.
Selain itu, beberapa hotel turut menyediakan bilik percuma kepada orang ramai, terutamanya kepada anak-anak yang terpisah daripada ibu bapa mereka.
Letupan yang berlaku di Manchester Arena, UK itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan 50 yang lain.
Seramai 21,000 peminat tiba di arena tersebut, kebanyakan daripada mereka ialah kanak-kanak dan remaja.
Semua laluan kereta api dari stesen Victoria Manchester telah dibatalkan dan dijangka tidak beroperasi sepanjang hari ini.