Penduduk gempar fenomena ikan bilis penuhi kawasan pantai
Agensi
September 22, 2021 14:40 MYT
September 22, 2021 14:40 MYT
SATU fenomena dipercayai melanda bahagian Selatan pantai di Jogjakarta, baru-baru ini mendapat liputan meluas dalam media tempatan Indonesia.
Kejadian itu mula tular setelah dimuat naik di laman Instagram Dinas Kelautan dan Perikanan pada Selasa.
Dalam video yang segera tersebar dalam pelbagai saluran media sosial itu menunjukkan sekumpulan penduduk tempatan yang menggunakan jaring, sauk dan pelbagai perkakasan lain untuk menangkap ribuan ikan bilis bersaiz besar berkenaan.
Turut kedengaran penduduk tempatan berkata: “Ini di lagun selatan, tak perlu jauh-jauh… Teri (ikan bilis), bro ...'
Ramai penduduk berdekatan pantai mengambil kesempatan itu untuk menangkap ikan bilis yang banyak terperangkap di sudut batu pantai dan di gigi air.
Sementara itu, ramai yang menganggap fenomena yang jarang terjadi itu suatu bentuk rezeki untuk dibawa pulang ke rumah, ada juga yang bimbang sekiranya ia merupakan petanda awal tentang kemungkinan bencana alam yang datang dari laut.
Agensi Dislautkan menyifatkan terdapat tiga faktor yang menyebabkan ikan bilis di kawasan perairan berkenaan berperilaku pelik iaitu: perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga dan plankton serta arus dan gelombang yang tinggi, lapor portal suara.com