Penduduk Gaza terus derita, kini di ambang kebuluran
Bernama
November 30, 2023 16:21 MYT
November 30, 2023 16:21 MYT
GAZA: Penduduk di Semenanjung Gaza ketika ini terus bergelut untuk meneruskan kehidupan selepas kediaman dan kemudahan infrastruktur musnah, kekurangan makanan serta terdedah dengan pelbagai penyakit berjangkit.
Konflik berdarah yang menyaksikan serangan bom Israel tanpa henti sejak 7 Okt telah menyebabkan penduduk di Gaza terpaksa berteduh di jalanan atau di celahan runtuhan konkrit, selain di pusat-pusat perlindungan yang terlalu sesak tanpa kemudahan yang mencukupi, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Di tengah-tengah kesengsaraan yang dihadapi, kini mereka diuji pula dengan masalah kebuluran dan risiko penyakit berjangkit ekoran kekurangan barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan, makanan dan air bersih.
Kehidupan bertambah tertekan apabila barangan yang ada dijual dengan harga yang sangat tinggi.
Mustafa Ahmed berkata beliau terpaksa keluar seawal waktu subuh dengan harapan dapat beratur di bahagian hadapan di lokasi pengagihan tepung oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Bagaimanapun, beliau terpaksa pulang dengan perasaan hampa apabila barisan terlalu panjang ekoran orang yang terlalu ramai.
"Barisan itu seolah tiada penghujung. Saya kecewa kerana tidak dapat menyediakan roti untuk anak-anak yang kelaparan di rumah", katanya.
Terdapat ribuan penduduk Gaza berusaha mendapatkan keperluan asas dan bahan makanan ruji seperti tepung di pusat pengagihan bantuan.
Penduduk berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan makanan kerana bimbang jeda kemanusiaan mungkin ditamatkan dan Israel kembali melancarkan serangan.
Ahmed berkata sejak bermulanya serangan tentera Israel ke atas Gaza semua lintasan sempadan ke Semenanjung Gaza ditutup dan tiada langsung barang keperluan harian dan bahan api dibenarkan masuk.
"Bekalan elektrik terputus sepenuhnya. Barangan makanan pula habis dan tiada bekalan baharu yang tiba.
"Produk tempatan juga tidak dapat dihasilkan kerana operasi semua kilang di Gaza terhenti akibat serangan berterusan Israel selain kehabisan bahan api," katanya.
Beliau berkata bukan mudah untuk mendapatkan bekalan tepung di Gaza lebih-lebih lagi apabila satu-satunya kilang tepung berhampiran iaitu di Deir al-Balah (zon tengah Gaza) musnah dibom.
Penduduk Gaza tiada pilihan selain terpaksa mengharapkan bantuan yang diagihkan UNRWA.
"Sukar untuk dapatkan makanan, jika dapat pun ia belum tentu cukup," katanya.
Seorang lagi penduduk Yasser Abu Halib berkata permintaan untuk bekalan tepung di sini amat tinggi dan mereka yang mahukan tepung perlu ke pusat agihan dan perlu mengemukakan kad pengenalan.
"Kuantiti bantuan yang diagihkan ikut bilangan ahli keluarga dan pusat-pusat agihan pula sangat sesak. Ada yang terpaksa bermalam di pusat agihan dua atau tiga hari dan tidur di atas lantai semata-mata untuk masuk barisan lebih awal.
"Jika ke kedai runcit hanya ada produk pembersihan kerana barangan itu tiada tarikh luput dan sekarang barangan itu tidak diperlukan," katanya.
Sementara itu, pengarah makmal kilang memproses tepung as-Salam di bandar Deir al-Balah, Ihsan al-Farra berkata kilang itu masih boleh beroperasi dan pihaknya tidak akan mengambil kesempatan terhadap situasi semasa.
Bagaimanapun, ketidakupayaan mereka mengimport tepung dan kehabisan bahan api, memaksa mereka mengehadkan operasi kilang bergantung kepada penjana kuasa dan tenaga solar.
Seorang peniaga Hossam Al-Mashni berkata bekalan makanan dan semua barangan keperluan asas terputus dari pasaran Gaza kerana semua lintasan sempadan ditutup sepenuhnya dan hanya menjual apa yang berbaki di kedainya pada harga biasa.
Namun, beliau tidak menafikan ada peniaga yang memonopoli dan mengambil kesempatan.
Justeru beliau amat berharap jawatankuasa khas diwujudkan bagi membantu memastikan agihan bantuan dapat dilakukan secara adil dan sampai kepada sasaran.
Dengan adanya jawatankuasa itu, penduduk juga berharap pemantauan dapat dibuat supaya penjualan barangan mengikut harga asal sekali gus mengekang monopoli.
Agensi Berita Anadolu semalam melaporkan, menteri-menteri luar dari negara Kumpulan Tujuh (G7) menyuarakan sokongan mereka supaya jeda kemanusiaan yang berakhir semalam, dilanjutkan dengan menekankan pentingnya orang awam dilindungi.
Dalam satu Kenyataan Bersama menteri-menteri luar G7 itu berkata segala usaha mesti dilakukan untuk memastikan segala bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan sampai kepada orang awam.
-- BERNAMA