Penduduk Gaza kini merasai penderitaan 1948

Astro Awani
Oktober 20, 2023 00:30 MYT
Khemah di Khan Younis disediakan UNDP untuk rakyat Palestin yang hilang tempat berlindung susulan serangan udara tentera Zionis Israel. - Foto AP
KHAN YOUNIS: Keadaaan penduduk di Gaza sekarang yang terpaksa tidur di khemah, mengulangi situasi nenek moyang mereka di Palestin yang diusir zionis pada tahun 1948.
Situasi itu dikenang semula oleh Asmaa Sabah, seorang warga Palestin yang kini 'hidup''di kem Khan Younis, sebuah penempatan yang dibina oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menempatkan pelarian Gaza yang dirampas tanahnya, atau musnah kediaman mereka.
"“Kami kini hidup seperti nenek moyang kami pada tahun 1948, kami dipindahkan dari rumah kami.
"Kami tidak pernah menyangka akan berada di sini dalam khemah. Kasihanilah kami, kami mahukan gencatan senjata, kami letih.
"Apa yang Israel mahu daripada kami? Kami dipindahkan dari rumah kami, apa lagi yang mereka mahukan?” soalnya.
Mereka merayu supaya kekejaman Israel berdekad-dekad lamanya dihentikan segera.
Menurut seorang lagi penduduk, Fedaa Zaqout, lebih 120 khemah didirikan namun menduduki kawasan paling padat tanpa akses secara terus kepada sumber asas manusia adalah sesuatu yang sukar.
“Sehingga kini, tiada makanan, tiada minuman, tiada air. Ini bukan kehidupan. Kami hidup dalam ketakutan, kami takut," jelasnya.
Perang antara Israel dan Palestin, yang tercetus sejak 7 Oktober lalu menjerumus kepada krisis kemanusiaan paling teruk pernah berlaku dalam sejarah.
Ratusan ribu rakyat Palestin di utara diarah melarikan diri ke kawasan lain, bagi tujuan mengelak serangan ketenteraan.
#Gaza #Khemah #penderitaan #Israel