Penduduk Gaza cari mayat, mangsa terselamat di kem pelarian Jabalia
Astro Awani
Oktober 17, 2023 06:30 MYT
Oktober 17, 2023 06:30 MYT
GAZA: Penduduk Gaza di kem pelarian Jabalia bergegas ke tapak di mana serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan pada Selasa untuk mencari mangsa yang terselamat.
Memetik Reuters, banyak mayat dan mangsa yang cedera dilihat di bawa menggunakan pengusung, ketika Israel memperhebatkan serangan ke atas wilayah itu.
Pada 7 Oktober lalu, pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke selatan Israel dengan pelancaran 5,000 roket dari Gaza sehingga menggemparkan rejim berkenaan, termasuk penduduk haram Yahudi yang sedang merayakan ulang tahun Perang Yom Kippur (1973) pada hari itu.
Perang Palestin-Israel yang berterusan, yang memasuki hari ke-10 telah membunuh lebih daripada 4,200 orang di kedua-dua Israel dan Semenanjung Gaza.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin memaklumkan seramai 2,837 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu dengan lebih 11,250 cedera.
Jurucakap Hamas berkata, serangan ke atas golongan wanita Palestin, ancaman ke atas Masjid Al-Aqsa dan kepungan Israel berterusan ke atas Gaza adalah faktor mereka melancarkan serangan itu.
Mereka menggelarkan serangan itu sebagai 'Perang Taufan Al-Aqsa', sambil turut mengakui menerima bantuan dan sokongan daripada Iran tetapi dinafikan Tehran.