Penduduk Gaza cari jalan urus saki-baki runtuhan termasuk dijadikan nisan

Agensi
Oktober 6, 2024 18:15 MYT
Di sebalik runtuhan sebuah kediaman dua tingkat, seorang kanak-kanak Palestin, Mohammed dilihat mengumpulkan serpihan bumbung yang musnah dan diletakkan di dalam baldi pada Ahad. - Foto Reuters
GAZA: Di sebalik runtuhan sebuah kediaman dua tingkat, seorang kanak-kanak Palestin, Mohammed pada Ahad dilihat mengumpulkan serpihan bumbung yang musnah dan dipecah-pecahkan sebelum diletakkan di dalam baldi dibawanya.
Bapa kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang juga merupakan seorang bekas buruh pembinaan, Jihad Shamali berkata, serpihan runtuhan yang dikutip anaknya itu akan digunakan untuk membuat batu nisan di kubur mangsa serangan Israel di Gaza.
"Di mana-mana bandar di Gaza, anda akan menemui runtuhan di jalan. Setiap jalan yang kami masuki, kami menemui runtuhan. Ini bukanlah kesan perang, Gaza umpama mengalami gempa bumi, lebih teruk daripada peperangan.
"Kami telah melalui keadaan yang sangat sukar. Gaza telah melalui keadaan yang sangat sukar tahun ini, kemusnahan yang kami lihat, kami tidak pernah saksikan dalam sejarah. Satu lagi perkara, kami mengambil runtuhan bukan untuk membina rumah, tetapi untuk nisan dan kubur, dari satu kesengsaraan ke satu lagi kesengsaraan," kata Jihad.
Penduduk Gaza kutip serpihan runtuhan jadi batu nisan
Tambahnya, kerja ini sangat sukar dan kadangkala menyedihkan lebih-lebih lagi pada Mac lalu, keluarganya turut membina sebuah kubur untuk salah seorang anaknya, Ismail, yang terbunuh akibat serangan Israel.
Namun, ini hanyalah sebahagian kecil daripada usaha yang mula diambil rakyat Gaza untuk menangani masalah runtuhan yang ditinggalkan oleh kempen ketenteraan Israel bagi menghapuskan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih daripada 42 juta tan runtuhan yang mana jumlah itu adalah 14 kali ganda daripada jumlah runtuhan yang terkumpul di Gaza antara tahun 2008 dan permulaan perang setahun sejak setahun lalu.
Angka ini dilaporkan lima kali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang ditinggalkan oleh konflik di Mosul, Iraq sekitar 2016-2017.
Sementara itu, PBB sedang berusaha membantu pihak berkuasa Gaza mempertimbangkan cara untuk menguruskan serpihan runtuhan tersebut.
Kumpulan Kerja Pengurusan Serpihan yang diketuai PBB merancang projek perintis dengan pihak berkuasa Palestin di Khan Younis dan Deir El-Balah untuk mula membersihkan serpihan bermula bulan ini.
#Hamas #Israel #batu nisan #runtuhan
;