Penduduk diminta berpindah susulan amaran banjir di utara Australia

Bernama
Februari 1, 2025 06:45 MYT
Kawasan sepanjang 270 kilometer dari Townsville hingga ke Babinda di utara dijangka mengalami banjir yang mengancam nyawa. - Foto X/Disasters Daily
SYDNEY: Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan dan menggesa penduduk mempertimbangkan untuk berpindah susulan banjir yang melanda timur laut Australia, lapor Xinhua.
Penduduk di wilayah utara negeri Queensland pada Sabtu dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat berbahaya dan mengancam nyawa selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
Beberapa kawasan di Townsville, bandar terbesar di kawasan terjejas, menerima 350 milimeter (mm) hujan dalam tempoh 18 jam sehingga pagi Sabtu, dengan pihak berkuasa memberi amaran lebih banyak hujan dijangka melanda.
Menurut amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Biro Meteorologi (BoM) pada Sabtu, kawasan sepanjang 270 kilometer dari Townsville hingga ke Babinda di utara dijangka mengalami banjir yang mengancam nyawa.
Penyelaras Bencana Negeri, Timbalan Pesuruhjaya Shane Chelepy berkata perkhidmatan kecemasan menerima lebih 300 panggilan bantuan sepanjang malam, termasuk 223 dari Townsville.
Beliau berkata penduduk di bandar kecil South Johnstone, selatan Babinda, telah diarahkan berpindah.
Satu pusat pemindahan telah dibuka dengan pihak berkuasa bersedia menambah lebih banyak kemudahan jika perlu.
-- BERNAMA
#banjir #hujan lebat #amaran kecemasan #arahan berpindah
;