Penduduk diingatkan jangan keluar rumah, 'raksasa api' Kilauea mengamuk lagi

Agensi
Disember 22, 2020 20:40 MYT
Imej dari satelit menunjukkan aktiviti di tengah-tengah kawah aktif Gunung Berapi Kilauea, Hawaii yang sedia memuntahkan lahar. - Reuters
GUNUNG berapi Kilauea di Big Island, Hawaii meletus pada Ahad malam, disusuli gempa bumi yang menggegarkan unjuran selatan gunung itu, menurut laporan daripada agensi pemantauan geologi Amerika Syarikat, USGS.
Reuters melaporkan, penduduk di sekitar kawasan pulau itu digesa untuk kekal di dalam kediaman masing-masing buat masa ini berikutan langit sudah dilitupi asap tebal dan mula menjatuhkan debu bertoksik.
Hawaiian Volcano Observatory (HVO) pada jam 10.30 malam waktu tempatan merekodkan gempa berukuran 4.4 magnitud dengan pusat gegaran di bawah permukaan selatan Gunung Kilauea.
Sejak kejadian letusan besar pada 2018, insiden terbaru itu adalah aktiviti paling besar terjadi. Pada kejadian dua tahun lalu, siri letusan dan rantaian gempa berlaku selama berbulan-bulan dan memaksa penduduk dipindahkan, sementara ratusan kediaman dan bangunan musnah ditelan lahar.
Letusan terkini pada Ahad itu dilaporkan di kawah Halemaumau, kata Agensi Pertahanan Awam Hawaii, yang turu menggesa orang ramai tidak keluar dari rumah.
Letusan itu bermula dengan beberapa rekahan yang membuka tembok dinding kawah Halemaumau.
Pihak USGS telah mengedarkan gambar yang menunjukkan puncak Kilauea mula menampakkan warna lahar merah menyala, seumpama raksasa yang mehu melonjak keluar bersama wap panas dan gas beracun.
BACA: Beratus-ratus rumah hancur disebabkan lava gunung berapi Kilauea
BACA: Kilauea terus marah, bawa malapetaka hingga ke rimba dan laut Hawaii
#gunung berapi #kilauea #Hawaii #USGS #gempa bumi #bencana alam #wap panas #lahar #Amerika Syarikat
;