Penduduk Bangkok diminta berada di rumah ekoran kualiti udara yang buruk

Bernama
Januari 20, 2025 17:27 MYT
Tahap pencemaran PM2.5 dijangka mencapai tahap "jingga" yang dianggap berbahaya kepada kesihatan, di kebanyakan kawasan bandar raya itu. - X: @KhaosodEnglish
BANGKOK: Pihak berkuasa menasihatkan penduduk Bangkok agar berada di dalam rumah ekoran ramalan kualiti udara yang buruk dan tahap pencemaran tinggi pada Isnin dan Selasa (20-21 Jan).
Jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Aekvarunyoo Amrapala berkata tahap pencemaran PM2.5 dijangka mencapai tahap jingga yang dianggap berbahaya kepada kesihatan, di kebanyakan kawasan bandar raya itu.
Beliau menggesa agensi kerajaan, sektor swasta dan penduduk untuk bekerja dari rumah (WFH) sepanjang tempoh itu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
"Lebih 80 titik panas kebakaran dilaporkan setiap hari antara 11 hingga 15 Jan dan tahap PM2.5 di 35 atau lebih daerah dijangka mencapai tahap 'jingga.'
"Pelaksanaan langkah WFH diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus meredakan tahap pencemaran udara di Bangkok," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BMA pada Isnin.
PM2.5 merujuk kepada zarah halus berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil, yang boleh menembusi jauh ke dalam sistem pernafasan dan menimbulkan risiko kesihatan serius.
Sesuatu kawasan diklasifikasikan sebagai zon jingga apabila kepekatan PM2.5 berada antara 37.6 hingga 75.0 mikrogram setiap meter padu. Penduduk di kawasan ini dinasihatkan memakai pelitup muka dan mengehadkan aktiviti luar.
Bagi mereka yang tidak dapat bekerja dari rumah, Aekvarunyoo menasihatkan kumpulan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan individu dengan masalah kesihatan kronik agar mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.
"Ini termasuk memakai pelitup muka yang boleh menapis PM2.5 setiap masa ketika berada di luar dan mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami gejala seperti batuk, kesukaran bernafas atau kerengsaan mata," tambahnya.
-- BERNAMA
#Bangkok #pencemaran udara #Penduduk #kerja di rumah #jerebu
;