Strategi yang berbeza dan pendekatan mengikut kesesuaian berbanding kaedah peperangan konvensional yang ketinggalan zaman diperlukan bagi menangani ancaman kumpulan militan Daesh yang semakin meningkat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata strategi mengikut kesesuaian harus menjadi panduan utama dalam usaha memerangi kumpulan pengganas.

"Kita mesti sedar bahawa Daesh bukan kumpulan pengganas yang biasa kita tangani. Daesh bukan Al-Qaeda kerana matlamat mereka adalah berbeza dan sebahagian matlamatnya bertapak dalam sejarah mereka," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam ucapan pada sesi pleno hari kedua Dialog Shangri-La Institut Antarabangsa Bagi Kajian Strategik (IISS) ke-15 di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda hanya mempunyai ratusan sel-sel aktif, tidak berdepan secara langsung dengan pasukan tentera, mengganggu orang awam dan paling penting dan tidak mendakwa menguasai wilayah berdaulat.

Sebaliknya, Daesh menekankan penguasaan terhadap wilayah yang luas yang kaya dengan hasil minyak sehingga membolehkan kumpulan itu membina model kewangan berdikari, sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh kebanyakan kumpulan pengganas.

"Pada masa kini, mereka mempunyai lebih 31,000 pejuang dengan kupayaan ketenteraan yang luas serta membabitkan diri dalam operasi canggih sementara mengawal rangkaian komunikasi dan infrastruktur yang penting.

"Sebab itu memerangi keganasan secara konvensional dan strategi menangani pemberontak yang sedia ada tidak pernah dan tidak akan berkesan menentang Daesh," kata Hishammuddin.

Beliau menegaskan Daesh adalah kumpulan yang bahaya dan nyata kepada rantau Asia Pasifik dalam bentuk potensi anggota kumpulan itu pulang ke negara asal dan anggota melakukan serangan secara bersendirian.

"Meraka juga berpotensai untuk memburukkan lagi ketidakstabilan di kawasan-kawasan panas di rantau ini seperti di wilayah selatan di Filipina dan Thailand dan mengeksploitasi keadaan di kawasan lain di rantau ini.

"Corak kejahatan adalah murni bagi kumpulan itu dan sekiranya tidak dibendung ia akan meracuni masa depan kita.

"Biarpun kita telah mencapai beberapa kejayaan terhadap gerakan kumpulan itu namun ia tidak bermakna kita sama sekali sudah selamat," katanya.

"Kita perlu bersetuju mengenai pelan komprehensif bagi mengalahkan Daesh dan pelan itu memerlukan kerjasama erat bukan sahaja terhad kepada pihak tentera malah semua pihak.

"Memusnahkan kumpulan ini boleh menjadi cabaran terbesar bagi generasi kita," katanya.