Pendakwaan kedua Trump di Senat bermula
Astro Awani
Februari 9, 2021 05:51 MYT
Februari 9, 2021 05:51 MYT
PENDAKWAAN kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Senat bermula secara rasmi pada Selasa.
Jamie Raskin yang mengetuai pasukan pendakwaan Demokrat memberitahu, pihaknya akan mengemukakan bukti kukuh terhadap Trump yang didakwa mendorong kelakuan ganas penyokongnya di bangunan Capitol bagi membantah kemenangan Joe Biden.
Tegas Raskin, tidak boleh dinafikan apa yang berlaku adalah bukti kukuh peranan dimainkan Trump dalam keganasan penyokongnya.
“Senator, presiden didakwa oleh Dewan Perwakilan pada 13 Januari atas tindakannya.
"Anda bertanya apakah jenayah berat dan kesalahan di bawah Perlembagaan? Itulah jenayah berat dan kesalahannya. Jika ia bukan kesalahan yang boleh didakwa, apakah lagi?
"Jika presiden mempertikaikan pengecualian pada Januari diteruskan, jika semua berpendapat beliau bertanggungjawab, bukti mengesahkannya, dan kita berpendapat beliau bertanggungjawab mempengaruhi kebangkitan dan keganasan penyokongnya pada hari Kongres bersidang untuk memuktamadkan pilihan raya presiden, beliau mahu anda percaya, Senat tidak mampu lakukan apa-apa.
"Tiada perbicaraan. Tiada fakta. Beliau mahu anda semua memutuskan, Senat tidak mempunyai kuasa,” katanya dalam perbicaraan yang berlangsung di Washington DC.
Raskin mengakhiri hujahnya dengan menceritakan pengalamannya sendiri berhubung ahli keluarga yang bersamanya pada 6 Januari - sehari selepas beliau mengebumikan anaknya yang meninggal dunia pada 31 Disember.
Katanya, dia mahu mereka bersamanya ketika mengira undi, dan dia mengatakan kepada mereka, "sudah tentu" keadaan akan selamat.
Anak perempuan dan menantunya berada di sebuah pejabat di Capitol ketika perusuh memasuki bangunan itu dan mereka terpaksa bersembunyi di bawah meja.
Mereka menghantar mesej menerusi telefon bimbit kepadanya yang berada di bilik berasingan ketika itu, menyangkakan mereka akan mati, katanya.
Raskin, 58 tahun, menangis menceritakan anaknya itu mengatakan, dia tidak ingin kembali ke Capitol, dan dia sendiri sedih melihat bendera Amerika digunakan perusuh sebagai alat untuk memukul.
"Senator, ini bukan masa depan kita. Ini bukan masa depan Amerika," katanya.
Trump adalah presiden pertama berdepan pendakwaan selepas tamat penggal pentadbiran.
Beliau juga presiden yang berdepan pendakwaan sebanyak dua kali.
Peguam Trump sebelum ini mempertahankan anak guamnya tidak bertanggungjawab ke atas kelakuan ganas penyokongnya.
Sebaliknya mereka mendakwa tindakan itu adalah atas kemahuan sendiri.
Keganasan di bangunan Capitol menyaksikan lima orang maut, termasuk seorang anggota polis.
#Donald Trump
#Joe Biden
#Jamie Raskin
#Pendakwaan kedua
#Bekas Presiden Amerika Syarikat
#kelakuan ganas penyokong
#Capitol