Pendaki Malaysia yang terkandas di Gunung Annapurna diselamatkan
Agensi
April 26, 2019 17:18 MYT
April 26, 2019 17:18 MYT
Pendaki Malaysia yang terkandas selama dua hari selepas mendaki Gunung Annapurna di Nepal diselamatkan helikopter penyelamat pada Jumaat.
Chin Wui Kin, 48, mencapai puncak gunung tersebut dengan ketinggian 8,091 meter bersama 31 pendaki antarabangsa lain pada Selasa tetapi gagal turun ke kem bawah.
Juruterbang helikopter melihat mangsa melambaikan tangannya dari ketinggian kira-kira 7,500 meter semalam.
Empat orang sherpa berpengalaman mendaki ke tapak tersebut dan membawanya turun ke kem di mana dia dibawa helikopter penyelamat.
Ahli Seven Summit Treks yang memberikan sokongan tempatan kepada mangsa, Mingma Sherpa berkata mangsa diterbangkan ke hospital di Kathmandu.
"Dia sedar tetapi kritikal," Mingma memberitahu Reuters.
Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut bagaimana pendaki itu bertahan di atas gunung berkenaan selama dua malam sebelum para penyelamat sampai.
Penyelamat berkata cuaca buruk dan mendapatkan pelepasan daripada syarikat insurans menyebabkan kelewatan penyelamatan.
Para pegawai mendaki berkata cuaca tak menentu dan longsoran yang kerap menjadikan Gunung Annapurna berbahaya dan lebih sukar untuk mendaki berbanding Gunung Everest.
Beberapa pendaki telah dilaporkan meninggal dunia di gunung tersebut sejak pendaki pertama tiba di puncaknya pada tahun 1950.
#Chin Wui Kin
#cuaca buruk
#diselamatkan
#Gunung Annapurna
#helikopter
#mangsa
#Nepal
#pendaki
#terkandas