Pendaki Korea Selatan ubah sampah jadi seni dengan mesej alam sekitar
Agensi
November 28, 2020 10:00 MYT
November 28, 2020 10:00 MYT
APABILA Kim Kang-eun mendapati lereng-lereng Gunung Jiri di taman negara terbesar Korea Selatan dipenuhi sampah-sarap sewaktu kunjungannya pada tahun 2018, dia mengambil keputusan untuk menyebarkan mesej tentang penjagaan alam sekitar.
Kang-eun mengasaskan Clean Hikers, sebuah kumpulan yang bertanggungjawab mengumpul sampah di laluan pendakian gunung itu dan beberapa gunung lain, seterusnya mengubahnya menjadi seni kraf.
"Seni yang dihasilkan daripada bahan buangan lebih menarik perhatian dan diterima baik oleh orang ramai, berbanding hanya mengatakan 'jangan membuang sampah merata-rata'.
"Kita boleh menghasilkan imej yang menarik sekali gus menarik perhatian ramai," ujar wanita berusia 30 tahun itu kepada Reuters.
Dia juga menunjukkan sebuah hasil kolaj dengan imej seekor kucing yang menangis bersama slogan 'Save The World' yang dicipta bersama ahli kumpulannya.
Imej haiwan itu adalah mewakili suasana di Gunung Mani di Pulau Ganghwa yang menjadi kawasan 'permainan' bagi kucing tanpa tuan.
Selain itu, terdapat juga kolaj gambaran ikan, burung, rama-rama dan manusia yang kesemuanya dihasilkan menggunakan cebisan sampah termasuk pelitup muka yang mereka kumpulkan.
Dengan sekatan pergerakan yang dilaksana sejak pandemik COVID-19 bermula, warga Korea Selatan sudah lama terkurung dalam rumah serta tidak boleh membuat perjumpaan di ruang tertutup.
Sejak itu, lebih ramai yang memilih untuk menghabiskan masa di luar dan di kawasan terbuka, khususnya di taman negara.
Bilangan pengunjung ke tiga buah taman negara utama yang berdekatan dengan bandar besar di Korea Selatan menunjukkan peningkatan sehingga lebih 20 peratus pada Oktober.
Menurut Jabatan Taman Negara Korea, jumlah itu adalah tinggi berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Kunjungan ke 22 buah taman negara di bawah jagaan jabatan itu menyaksikan lebih 800 tan sampah dikumpulkan dalam tempoh sembilan bulan kebelakangan ini.
Kebanyakan sampah dibuang ke dalam tong dengan betul, sebahagian lagi tidak, dan itulah yang mencetus inisiatif Kang-eun dan ahli kumpulannya.
"Namun kami tidak dapat membersihkan keseluruhan kawasan gunung.
"Paling penting adalah untuk meneruskan aktiviti ini, menyebarkan mesej ini, dan mengajak lebih ramai orang menyertainya.
"Itu yang lebih utama," ujar Kim.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#pendaki
#Korea Selatan
#alam sekitar
#pencemaran
#seni kraf
#sampah
#Kim Kang-eun
#COVID-19
#pelitup muka