Pendaki British hilang di pergunungan New Zealand ditemui mati - Polis
Agensi
Jun 12, 2019 18:00 MYT
Jun 12, 2019 18:00 MYT
Seorang lelaki British yang dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lalu di sebuah kawasan pergunungan di New Zealand, telah ditemui mati.
Reuters melaporkan, polis New Zealand mengesahkan identiti Darren Myers, 49, selepas jasadnya ditemui pada Rabu (12 Jun).
Myers dipercayai mati selepas terjatuh berdekatan sebuah lokasi air terjun di Tararua Range di pinggir ibu negara, Wellington.
"Ia berlaku dengan pantas. Saya tidak fikir dia menderita. Apabila anda menyertai perjalanan seperti ini, pasti terdapat risiko,” ujar Sarjan Tony Matheson, yang disiar di Radio New Zealand.
Warga Britain yang bermastautin di Wellington itu dilaporkan hilang sejak 1 Jun lalu apabila dia gagal kembali ke lokasi yang ditetapkan dalam pengembaraan pendakian itu.
Operasi mencari Myers bagaimanapun berdepan dengan cabaran bentuk muka bumi dan cuaca yang buruk, termasuk salji.
Ribuan pendaki melawat New Zealand setiap tahun untuk meneroka keindahan landskap pergunungan dan mendekati hidupan liarnya.
Tararua Range menjadi pilihan popular kerana ia terletak dekat dengan Wellington, namun laluan curam dan perubahan cuaca mendadak seringkali menjadi cabaran hebat buat para pendaki.
Pada tahun 2016, seorang wanita Czech terpaksa menjalani ikhtiar hidup bersendirian selama hampir sebulan dalam sebuah pondok dalam laluan pendakian di South Island, selepas rakan lelakinya terkorban selepas terjatuh.