Pendaftaran kereta di Eropah susut 1.9 peratus pada November

Bernama
Disember 19, 2024 04:00 MYT
Pendaftaran kereta baharu susut 1.9 peratus tahun ke tahun kepada 869,816 unit pada November, berbanding kenaikan 1.1 peratus pada Oktober. - Gambar hiasan/AP
BRUSSELS: Jualan kereta baharu di Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan penurunan pada November selepas pulih pada bulan sebelumnya, menurut data bulanan Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA) yang dikeluarkan pada Khamis, lapor agensi berita Jerman, (dpa).
Pendaftaran kereta baharu susut 1.9 peratus tahun ke tahun kepada 869,816 unit pada November, berbanding kenaikan 1.1 peratus pada Oktober.
Dalam kalangan empat pasaran utama, pasaran kereta Perancis mencatatkan kejatuhan terbesar dengan penurunan sebanyak 12.7 peratus, diikuti Itali dengan penurunan 10.8 peratus. Sementara itu, jualan kereta di Sepanyol mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.4 peratus, dan permintaan di pasaran kereta Jerman meningkat sedikit sebanyak 0.5 peratus.
Pada November, jumlah jualan kereta elektrik bateri merosot 9.5 peratus setiap tahun, dengan bahagian pasaran turun kepada 15 peratus daripada 16.3 peratus. Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan besar pendaftaran di Jerman dan Perancis.
Permintaan untuk kereta hibrid plug-in turut susut 8.8 peratus. Sebaliknya, pendaftaran kereta hibrid-elektrik melonjak 18.5 peratus, dengan bahagian pasaran meningkat kepada 33.2 peratus daripada 27.5 peratus tahun lepas.
Jualan kereta petrol menyusut 7.8 peratus apabila kejatuhan direkodkan di keempat-empat pasaran utama. Begitu juga, pasaran kereta diesel merosot sebanyak 15.3 peratus susulan penurunan yang diperhatikan di kebanyakan pasaran EU.
Dalam tempoh 11 bulan pertama 2024, jualan kereta baharu menunjukkan peningkatan 0.4 peratus kepada 9.7 juta unit.
Dalam kalangan pasaran utama, Sepanyol menyumbang pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan jualan sebanyak 5.1 peratus.
-- BERNAMA
#jualan kereta #ACEA #kereta elektrik #jualan merosot #Kesatuan Eropah
;