Pendaftaran dalam talian musim haji 2021 ditutup malam ini

Bernama
Jun 23, 2021 20:47 MYT
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan memulakan proses pemilihan dan nama pemohon yang berjaya terpilih akan diumumkan Jumaat ini. - Gambar fail/ AP Photo
RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan pendaftaran Haji musim 2021 secara dalam talian untuk warganegara dan rakyat asing yang berada di negara itu ditutup 10 malam ini (waktu tempatan), seperti yang dijadualkan.
Pendaftaran fasa pertama itu yang bermula 1 tengah hari 13 Jun lalu membuka peluang kepada 60,000 orang dalam lingkungan usia 18-65 tahun untuk mengerjakan haji, dengan syarat mereka telah menerima vaksin COVID-19 dan bebas penyakit berjangkit.
Kementerian berkenaan seterusnya akan memulakan proses pemilihan dan nama pemohon yang berjaya terpilih akan diumumkan Jumaat ini, lapor akhbar harian tempatan "Okaz" menerusi portalnya hari ini.
Portal khas Haji Kementerian berkenaan dilaporkan menerima sebanyak 450,000 permohonan dalam tempoh 24 jam sebaik dilancarkan.
Kementerian berkenaan dipetik berkata walaupun masih berdepan risiko penularan COVID-19, Kerajaan Arab Saudi telah melakukan persediaan rapi bagi menjamin keselamatan jemaah yang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ini merupakan kali kedua ibadah Haji dilaksanakan dalam suasana pandemik COVID-19 sejak virus itu mula dikesan pada penghujung 2019.
Pada 12 Jun, Arab Saudi memaklumkan jumlah jemaah Haji tahun ini terhad kepada 60,000 orang untuk warganegara Arab Saudi dan rakyat asing yang telah berada di negara itu sahaja.
-- BERNAMA
#umrah #Arab Saudi #Haji #COVID-19 #pandemik #vaksin #pendaftaran ditutup
;