Pendaftaran dalam talian dan fi diperkenalkan atasi kesesakan di Gunung Fuji
Bernama
Mei 13, 2024 20:51 MYT
Mei 13, 2024 20:51 MYT
KOFU (Japan): Tempahan secara dalam talian akan diperkenalkan untuk pelawat yang ingin mendaki Gunung Fuji menggunakan laluan yang sering digunakan di Wilayah Yamanashi dengan kerajaan wilayah itu sedia mengutip fi kemasukan mulai musim panas ini.
Sistem baharu itu yang akan bermula pada 20 Mei ini, menyasarkan untuk mengurangkan kesesakan di tempat penyambut pengunjung dengan membolehkan pendaki untuk membayar 2,000 yen (AS$13) terlebih dahulu, lapor agensi berita Kyodo memetik kerajaan tempatan pada Isnin.
Wilayah itu menerima maksimum 4,000 pendaki sehari, 3,000 slot disediakan untuk tempahan secara dalam talian.
Sekurang-kurangnya 1,000 pelawat akan dibenarkan membayar fi kemasukan di tempat menyambut pelawat di laluan itu pada hari pendakian mereka.
Tempahan boleh dibuat di laman sesawang rasmi untuk mendaki Gunung Fuji yang dikendalikan wilayah itu dan pihak berkepentingan lain sehingga hari sebelum pendakian dengan maksimum 100 orang dibenarkan membuat tempahan secara serentak.
Bayaran boleh dibuat dengan kad kredit atau kod respons pantas dan wang tidak akan dikembalikan.
-- BERNAMA