Pendaftaran calon Pilihan Raya Umum Thailand bermula

Bernama
April 3, 2023 21:44 MYT
Prayuth Chan o-cha diiringi pemimpin dan calon United Thai Nation Party turut berada di Pusat Belia Bangkok untuk memberikan sokongan moral kepada calon parti di kawasan itu. - Gambar fail/ Reuters
BANGKOK: Beratus-ratus calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum Thailand 14 Mei mula mendaftar bagi merebut kerusi di kawasan masing-masing.
Di Bangkok, calon-calon yang diiringi penyokong parti tiba di Pusat Belia Bangkok seawal mungkin dengan harapan untuk memperoleh 'nombor bertuah'.
Kebanyakan calon mengharapkan nombor satu digit kerana ia mudah diingati oleh pengundi.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha diiringi pemimpin dan calon United Thai Nation Party turut berada di Pusat Belia Bangkok untuk memberikan sokongan moral kepada calon parti di kawasan itu.
Selain itu, Prawit Wongsuwan dari parti Palang Pracharath, Paetongtarn Shinawatra, calon perdana menteri parti Pheu Thai, Jurin Laksanawisit dari Parti Demokrat, dan ketua parti Move Forward Pita Limjaroenrat turut sama hadir memberikan sokongan kepada calon parti masing-masing.
Prayuth berkata Thailand memerlukan pemimpin yang memahami tugas dan tanggungjawab untuk membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dan negara.
"Saya tahu bagaimana untuk melakukannya dan untuk menjadikannya kenyataan," katanya kepada Thairath TV.
Beliau berkata isu mengenai kesesakan lalu lintas, masalah sampah dan perparitan di Bangkok adalah antara keutamaannya.
Sementara itu, Prawit berkata calon partinya berikrar akan berusaha yang terbaik untuk rakyat.
"Kami tidak menetapkan sebarang matlamat (kerusi untuk menang) dalam pilihan raya akan datang, terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan," katanya.
Bagi Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai pula parti itu berharap memenangi 33 kerusi dalam kawasan pilihan raya Bangkok.
"Kami akan terus melakukan yang terbaik. Terserah kepada rakyat untuk memilih. Kami akan berusaha sebaik mungkin sepanjang tempoh berkempen.
"Kami berharap rakyat akan keluar untuk melaksanakan hak mereka pada 14 Mei. Pheu Thai akan meraih kemenangan besar pada pilihan raya akan datang," kata anak bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra itu. Thaksin kini tinggal dalam buangan di Dubai.
Paetongtarn ialah calon perdana menteri Pheu Thai.
Sementara itu, proses pendaftaran calon di selatan Thailand berjalan lancar.
Terdapat sejumlah 24 kerusi di lima wilayah selatan - Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Satun.
Setiausaha Agung Parti Prachachat Pol Kolonel Tawee Sodsong berkata parti itu dijangka memenangi 13 kerusi di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.
"Calon kami terdiri daripada penduduk tempatan yang lebih memahami situasi dan isu tempatan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Mei sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 7 Mei.
-- BERNAMA
#Bangkok #pilihan raya umum #calon #Belia
;