Pencuri pecah masuk kafe, masak burger dan ucap terima kasih
Madiha Abdullah
Januari 6, 2016 10:46 MYT
Januari 6, 2016 10:46 MYT
Sebuah kafe di sebuah pejabat urusan kelab bola sepak amatur di Lancashire dipecah masuk seseorang, namun apa yang menarik adalah tujuan si 'pencuri' berbuat demikian.
Bukan bertujuan untuk mencuri, sebaliknya si 'pencuri' masuk untuk membuat burger, minum kopi dan membuat minuman coklat untuk hidangan dirinya sendiri.
Selesai menjamu selera, dia meninggalkan nota mengucapkan terima kasih, dalam bentuk contengan pada dinding kafe tersebut.
"Terima kasih, burger yang sedap," tulis si pencuri yang turut meletakkan nama Joey pada nota itu.
Laporan polis dibuat dan pihak kafe tekad mencari si pelaku, memandangkan kerosakan yang dibuat pada kafe berkenaan, seperti tingkap kaca yang pecah, selain 10 botol minuman alkohol hilang.
Pengurus kafe berkenaan memberitahu, perkara itu sangat mengecewakan kerana tujuan utama kafe berkenaan diwujudkan bukan untuk mencari keuntungan, sebaliknya untuk membantu mencari dana untuk menguruskan pasukan bola sepak Colne FC.
Kerugian dianggarkan kira-kira £1,000 (RM6,393).