Pencuri mirip Bradley Cooper diburu polis, tarik perhatian netizen
Agensi
Ogos 5, 2022 20:45 MYT
Ogos 5, 2022 20:45 MYT
GEORGIA: Polis di Georgia, Amerika Syarikat, sedang memburu seorang pencuri yang seiras pelakon terkenal Hollywood, Bradley Cooper.
Jabatan Polis Henry County berkata, imej suspek yang mempunyai wajah dan penampilan yang sangat mirip dengan Cooper dirakam oleh kamera keselamatan di Home Depot pada 23 Julai.
Dalam rakaman itu, suspek membawa keluar kit Laser Rotary Bosch tanpa membayarnya.
Jabatan itu mengeluarkan notis di Facebook mereka untuk mendapatkan bantuan menjejaki pencuri berkenaan, namun, lebih ramai yang memperkatakan tentang persamaan suspek dengan pelakon yang pernah dicalonkan untuk Oscar itu.
Ramai yang berjenaka dengan berkata Cooper sebenarnya sedang berlakon atau terpaksa mencuri untuk mendapatkan keperluan kerana situasi ekonomi.
"Ini memang masa yang sukar sehingga Bradley Cooper pun terpaksa mencuri," tulis pengguna Facebook, Brooke Adams.
Biarpun ditag oleh peminat di ruangan komen, Cooper setakat ini belum memberikan respon.
Pelakon A Star Is Born itu kini sedang sibuk di set filem terbaharunya, Maestro, yang menyaksikan dia membawa watak komposer Broadway terkenal, Leonard Bernstein.