Pencipta biskut Famous Amos meninggal dunia pada usia 88 tahun

Agensi
Ogos 15, 2024 09:15 MYT
Wallace “Wally” Amos, pencipta empayar biskut Famous Amos yang dinamakan sempena namanya dilaporkan meninggal dunia pada Selasa lalu (13 Ogos). - Gambar fail AP
WALLACE “Wally” Amos, pencipta empayar biskut Famous Amos yang dinamakan sempena namanya dilaporkan meninggal dunia pada Selasa lalu (13 Ogos).
Mendiang Amos menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.
Amos - individu yang mencipta empayar biskut Famous Amos, bagaimanapun, pada akhirnya kehilangan pemilikan syarikat tersebut serta hak untuk menggunakan nama Amos yang sangat masyhur.
Pada tahun-tahun terakhirnya, beliau menjadi pemilik kedai biskut bernama Chip & Cookie di Hawaii, tempat beliau berpindah pada tahun 1977.
Amos meninggal dunia di rumahnya di Honolulu di samping isterinya, Carol.
Beliau dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi demensia.
Anak-anak mendiang iaitu Sarah, Michael, Gregory dan Shawn Amos dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata: "Famous Amos adalah kisah kejayaan besar Amerika dan sumber kebanggaan bagi masyarakat kulit hitam."
Amos juga merupakan pengasas bersama Uncle Wally's Muffin Co dan menjadi inspirasi kepada generasi usahawan.
Dalam satu wawancara dengan Associated Press pada tahun 2007 Amos berkata: “Menjadi terkenal itu terlalu dibesar-besarkan."
Mendiang juga pernah dilaporkan sebagai berkata, biskut Famous Amos yang dijual sekarang tidak sama dengan biskut asalnya yang menggunakan banyak coklat, mentega asli dan ekstrak vanila tulen.
Syarikat muffin milik Wally Amos yang berpusat di Shirley, New York, pada asalnya ditubuhkan sebagai Uncle Noname Cookie Co pada tahun 1992, beberapa tahun selepas beliau kehilangan jenama Famous Amos.
Namun, Uncle Noname mengalami masalah kewangan dan akhirnya bertukar kepada pengeluaran muffin pada tahun 1996 setelah dicadangkan oleh rakan perniagaannya, Lou Avignone.
Di dalam kedai biskutnya di Hawaii yang kini telah ditutup, Amos menjual biskut bersaiz kecil yang serupa dengan yang pertama kali dijualnya di kedai Famous Amos di Hollywood.
Sepanjang hayatnya, Amos juga aktif dalam mempromosikan literasi, termasuk menyediakan bilik bacaan di kedainya dengan sejumlah koleksi buku yang disumbangkan.
Beliau juga menulis lapan buah buku, menjadi jurucakap untuk Literacy Volunteers of America selama 24 tahun selain aktif memberi ceramah motivasi.
Pada tahun 1991, Presiden George H.W. Bush menganugerahkan beliau Anugerah Literasi atas sumbangannya.
Dalam bukunya, Man With No Name: Turn Lemons Into Lemonade, Amos mendedahkan bagaimana dia kehilangan pemilikan jenama Famous Amos sebelum ia dijual dengan harga AS$63 juta kepada sebuah syarikat Taiwan pada tahun 1991.
Meskipun jualan yang kukuh, perniagaannya mula merosot pada tahun 1985, dan Amos membawa masuk pelabur luar yang akhirnya menyebabkan dia kehilangan keseluruhan pemilikan syarikat tersebut.
"Pemilik baharu menguasai lebih banyak bahagian saya sehingga tiba-tiba saya mendapati saya telah kehilangan semua pemilikan dalam syarikat yang saya asaskan," tulis beliau.
“Tidak lama kemudian, syarikat itu telah menukar pemilikan sebanyak empat kali.”
Mendiang Amos dilahirkan di Tallahassee, Florida dan berpindah ke New York pada usia 12 tahun selepas perceraian ibu bapanya.
Di New York, beliau tinggal bersama seorang ibu saudara, Della Bryant yang mengajarnya cara membuat biskut coklat.
Dia kemudiannya berhenti daripada sekolah menengah untuk menyertai Tentera Udara sebelum bekerja sebagai kerani bilik surat di agensi William Morris.
Bersama agensi itu, mendiang menjadi ejen bakat, bekerja dengan The Supremes, Simon & Garfunkel dan Marvin Gaye sebelum meminjam AS$25,000 untuk melancarkan perniagaan biskutnya.
Menurut anak mendiang, Shawn Amos, bapanya merupakan ejen kulit hitam pertama dalam perniagaan itu.
“Ayah kami mengajar kami tingginya nilai kerja keras, percaya pada diri sendiri dan mengejar impian kami
"Kami juga tahu dia akan menyukainya jika anda mempunyai biskut coklat hari ini," katya anak-anak mendiang Amos lagi. - Agensi
#Famous Amos #Wallace Wally Amos #biskut Famous Amos #pencipta Famous Amos meninggal dunia
;