'Pencerobohan Ukraine keputusan negara berdaulat, kuat dan merdeka' - Ini yang perlu anda tahu dari ucapan Putin
Nickyson Nyambar
Mei 10, 2022 22:48 MYT
Mei 10, 2022 22:48 MYT
KUALA LUMPUR : Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Isnin tampil menyertai perarakan dan sempat memberikan ucapan sempena sambutan nasional Hari Kemenangan negara bekas Soviet itu di Red Square, Moscow.
Dalam ucapan pemimpin tertinggi negara berkenaan, Putin tidak langsung menyentuh serta bercadang untuk meningkatkan aktiviti ketenteraan termasuk mengerahkan anggotanya di Ukraine bagi memarakkan konflik sedia ada.
Ini sekali gus, bercanggah dengan tanggapan negara barat yang memberi amaran bahawa Putin akan menggunakan sambutan Hari Kemenangan itu yang disambut pada 9 Mei itu untuk menyeru semangat kebangsaan untuk menentang Ukraine
Ini apa yang dikatakan oleh beliau dalam ucapan sempena Hari Kemenangan yang disambut setiap tahun oleh negara itu.
1. Berkenaan pencerobohan di Ukraine
"Kita menyaksikan peningkatan dari segi infrastruktur serta aset ketenteraan, ratusan penasihat tentera bekerja dan penghantaran senjata oleh negara anggota Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Tahap bahaya semakin meningkat saban hari. Kita (Rusia) melakukan sebaik mungkin untuk menangkis serangan. Ia perkara yang betul untuk dilakukan. Ini adalah keputusan sebuah negara yang berdaulat, kuat dan merdeka," kata Putin.
2.Jaminan keselamatan
"Walaupun terdapat perselisihan pendapat dalam hubungan antarabangsa, Rusia sentiasa tampil dengan kesaksamaan dalam sistem keselamatan, sebuah sistem yang penting untuk seluruh masyarakat antarabangsa.
"Pada Disember tahun lalu, kita ada mengusulkan kesimpulan dari kesepakatan tentang jaminan keamanan. Rusia meminta Barat untuk memasuki dialog yang jujur, mencari penyelesaian yang masuk akal, untuk mempertimbangkan kepentingan masing-masing. Semuanya sia-sia."
"Negara-negara NATO tidak mahu mendengar suara kami, maksudnya mereka sebenarnya memiliki perancangan yang berbeza," tegas beliau.
3. Pergolakan di Timur Ukraine
"Hari ini, anggota sukarela di Donbas bersama dengan anggota tentera Rusia sedang berjuang di tanah milik mereka.
"Buat pejuang, anda sedang berjuang untuk mendapatkan tanah air anda, berjuang untuk masa depan agar tiada yang melupakan pengajaran yang diambil dari perang dunia kedua. Tiada tempat untuk penghukum dan sentimen Nazi," jelasnya.
4. Kehilangan anggota
"Kematian setiap perajurit dan perwira merupakan satu kesedihan buat kita semua. Ini adalah merupakan kehilangan yang tidak dapat diganti.
"Semua pihak di negara ini akan melakukan segalanya untuk membantu dalam memberi pertolongan serta sokongan sewajarnya buat keluarga yang kehilangan nyawa terutamanya melibatkan anggota tentera yang dikerahkan dalam 'misi ketenteraan' di Ukraine.
"Keluarga terlibat akan diberi sokongan khas dalam tempoh ini. Dekri presiden telahpun ditandatangani.
5. Isu Rusia dan negara-negara Barat
"Amerika Syarikat, terutama selepas kejatuhan Kesatuan Soviet mula untuk bercakap berkenaan hak eksklusiviti mereka. Merendahkan bukan sahaja seluruh dunia, tetapi kendalian satelitnya yang mana negara ini mengawal media supaya berpura-pura dan harus patuh kepada (arahan kerajaan).
"Tetapi Rusia adalah negara yang berbeza. Kita tidak pernah melupakan rasa cinta terhadap tanah air, kepercayaan serta nilai tradisi, adat resam nenek moyang dan rasa hormat kita kepada semua orang termasuk budaya," kata Putin.