Pencerobohan sempadan AS akan berakhir sebelum Isnin - Trump

Bernama
Januari 20, 2025 12:30 MYT
Trump berjanji untuk melaksanakan langkah kawalan imigresen pada hari pertama penggal keduanya memegang jawatan, termasuk mengusir pendatang tanpa izin. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Menjelang upacara angkat sumpahnya, Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu penyokong bahawa beliau akan melaksanakan langkah kawalan imigresen pada hari pertama penggal keduanya memegang jawatan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Donald Trump berjanji untuk melaksanakan langkah kawalan imigresen pada hari pertama penggal keduanya memegang jawatan, termasuk mengusir pendatang tanpa izin.
  • Trump menggambarkan pendatang tanpa dokumen sebagai penjenayah, walaupun pakar menyatakan tiada bukti mengenai gelombang jenayah yang didorong oleh pendatang.
  • Serbuan pertama dijangka bermula sejurus selepas upacara angkat sumpahnya, dengan operasi awal dirancang di Chicago dan mungkin diperluaskan ke bandar lain.

"Menjelang matahari terbenam esok, pencerobohan sempadan kita akan berakhir dan semua penceroboh tanpa izin di sempadan melalui pelbagai cara akan dihantar pulang," kata pemimpin Republikan itu dalam satu perhimpunan di Washington.
Seperti semasa kempen pilihan rayanya, Trump menggunakan generalisasi luas dan menggambarkan pendatang tanpa dokumen yang tinggal di AS sebagai penjenayah.
Walaupun terdapat peningkatan jenayah di beberapa kawasan di AS, pakar menyatakan bahawa ia disebabkan faktor sosiopolitik yang kompleks. Tiada bukti mengenai gelombang jenayah yang didorong oleh pendatang, mahupun pendatang melakukan jenayah pada kadar lebih tinggi berbanding warga AS.
Satu daripada janji utama kempen Trump ialah untuk melaksanakan pengusiran besar-besaran. Bagi melaksanakan rancangan ini, Trump telah melantik beberapa individu berhaluan kanan untuk menyertai pentadbirannya.
Menurut media AS, serbuan pertama dijangka bermula sejurus selepas upacara angkat sumpahnya pada Isnin. Serbuan ini pada peringkat awal dirancang di Chicago dan mungkin akan diperluaskan ke bandar lain. Operasi ini dijadualkan berlangsung selama seminggu.
-- BERNAMA
#Pencerobohan sempadan AS #Donald Trump #langkah kawalan imigresen #pendatang tanpa dokumen
;