Pencerobohan Rafah patahkan bantuan ke Gaza - PBB
Astro Awani
Mac 19, 2024 08:30 MYT
Mac 19, 2024 08:30 MYT
GAZA: Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Rafah akan menyebabkan pengagihan bantuan ke Gaza musnah.
Menurut Jamie McGoldrick, badan kemanusiaan PBB itu tidak akan dapat menyediakan bekalan yang mencukupi untuk penduduk yang sudah melarikan diri dari kawasan itu.
Katanya lagi, agensi itu tidak boleh merancang operasi bantuan Gaza untuk lebih dua atau tiga hari lebih awal kerana keadaan yang disifatkannya sebagai tidak menentu dan tidak stabil.
McGoldrick berkata, ia akan menjadi senario yang sangat sukar bagi pihaknya untuk membayangkan kemungkinan ratusan ribu orang terpaksa keluar dari Rafah kerana pencerobohan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berikrar untuk ceroboh ke Rafah di hujung selatan Semenanjung Gaza.
Tindakan itu diteruskan ketika komuniti antarabangsa mendesak Zionis menghentikan operasi ketenteraannya.
Ketika ini lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Palestin telah berlindung di khemah sementara untuk melarikan diri dari serangan Israel.
McGoldrick berkata, jika berlaku pencerobohan, sistem bantuan agensi kemanusiaan PBB itu akan tidak menentu dan terputus-putus sekaligus musnah sepenuhnya.
Kekurangan makanan yang melampau di bahagian Gaza sudah jauh melebihi paras kebuluran dan kematian beramai-ramai kini berlaku sekiranya gencatan senjata tidak dikuatkuasakan segera.