Pencemaran udara Jakarta: Keputusan tindakan undang-undang ke atas pemerintah Indonesia ditangguh lagi
Agensi
Mei 20, 2021 15:19 MYT
Mei 20, 2021 15:19 MYT
JAKARTA: Sebuah mahkamah di Indonesia menangguhkan keputusan berhubung tindakan undang-undang ke atas pemerintah negara itu berikutan tahap kualiti udara buruk yang sering menyelubungi Jakarta.
Keputusan itu sepatutnya diumumkan pada Khamis (20 Mei) namun pendengaran kes ditangguh sehingga 10 Jun.
“Banyak dokumen untuk dilakukan rujuk silang dan kami juga ada banyak kes lain. Kami perlu masa untuk mengkaji kes ini sebelum membuat sebarang keputusan,” ujar hakim Saifuddin Zukri.
Plaintif yang memfailkan saman itu termasuk kumpulan aktivis, pekerja pejabat dan penunggang motosikal teksi. Mereka antara lain mendesak pemerintah pusat dan ibu negara mengetatkan undang-undang berkaitan standard kualiti udara, yang kini dilihat sangat lemah.
Selain itu mereka juga menuntut agar dilakukan lebih banyak pemantauan, dan pesalah dikenakan hukuman yang lebih setimpal.
Defendan kes tersebut termasuklah Presiden Joko Widodo, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Kementerian Kesihatan, Gabenor Jakarta dan pihak pentadbir Jawa Barat serta Banten.
Peguam Ayu Eza Tiara, salah seorang yang mewakili plaintif, berkata dia kecewa dengan penangguhan itu.
“Kami bukan meminta pampasan kewangan namun hak untuk kami menikmati udara bersih.
“Kes ini sudah berlarutan selama dua tahun dan masih ada peluang untuk kami perjuangkan sehingga ke Mahkamah Agung. Semakin lama keputusan diambil, semakin lama untuk kita dapat udara yang bersih di Jakarta,” ujarnya kepada Channel NewsAsia.
Tindakan undang-undang itu difailkan pada Julai 2019.
Jakarta sering termasuk dalam senarai bandar raya dengan kualiti udara terburuk di dunia, menurut pemantauan indeks kualiti udara IQAir, dengan bacaan partikel mikroskopik P2.5 yang tinggi.
Kumpulan alam sekitar menuding jari kepada penyumbang pencemaran iaitu asap kenderaan, asap pembakaran terbuka dan asap dari loji tenaga yang menggunakan bahan api batu arang di sekitar Jakarta.
Sebulan sebelum tindakan undang-undang itu diambil, Jakarta berada di kedudukan paling tinggi dalam senarai bandar raya paling tercemar, mengatasi New Delhi dan Beijing.