Pencemaran udara Bangkok makin buruk, aktivis desak kerajaan segera bertindak

Agensi
Januari 23, 2020 20:10 MYT
Para aktivis yang siap memakai topeng penutup mulut dan hidung, berarak ke bangunan kerajaan untuk mendesak pihak pemerintah lebih peka dan segera bertindak. - Reuters
Berpuluh-puluh aktivis di Bangkok menjalankan sebuah tunjuk perasaan pada Khamis untuk membantah keadaan pencemaran udara yang semakin memburuk di ibu negara Thailand itu.
Reuters melaporkan, bantahan itu diadakan sehari selepas pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan menutup sesi persekolahan kerana bimbang tentang kesannya.
Tahap pencemaran udara di Bangkok sudah melepasi kategori tidak sihat sejak bulan lalu, dengan bacaan pada Indeks Kualiti Udara melebihi 100.
Bacaan indeks itu mencatatkan 151 pada minggu lalu iaitu paras yang amat tidak sihat, dan kemudian meningkat ke 163 pada Isnin lalu, menurut badan pemantau AirVisual.
Sekolah-sekolah ditutup pada Rabu dan pada Khamis, bacaan menurun kepada 121.
Para aktivis itu, yang siap memakai topeng penutup mulut dan hidung, berarak ke bangunan kerajaan untuk mendesak pihak pemerintah lebih peka dan segera bertindak.
"Pencemaran udara menjejaskan semua orang... ini adalah hal antara hidup dan mati,” ujar Pengarah Greenpeace Thailand, Tara Buakamsri.
Partikel berbahaya yang ditemui dalam debu, asap kenderaan dan jerebu begitu halus dan boleh memasuki paru-paru dan salur darah.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha berkata orang yang sihat seperti dirinya mungkin boleh bertahan dalam situasi itu, tetapi bagi kumpulan yang berisiko perlu tahu tahap toleransi masing-masing serta perlu memakai topeng.
Komen beliau itu telah mencetuskan kemarahan sesetengah aktivis.
"Memberi tekanan pada orang seperti ini bukan sesuatu yang berkesan bagi sesebuah kerajaan,” ujar salah seorang peserta protes, Chonlatorn Wongrussamee.
Tara berkata, protes yang diadakan itu memberi penegasan bahawa kerja-kerja melindungi alam sekitar dan kesihatan tidak merencatkan pembangunan ekonomi malah ia seharusnya perlu diperjuang secara bergandingan.
Apabila kumpulan aktivis itu tiba di hadapan pejabat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, mereka disambut oleh wakil kerajaan yang memberitahu bahawa isu pencemaran itu sedang dalam perhatian pihak kementerian.
#Bangkok #pencemaran udara #protes #Thailand #tunjuk perasaan
;