Pencarian MH370: Kapal China 'Dong Hai Jiu 101' sertai operasi penghujung Februari

Agensi
Januari 29, 2016 20:16 MYT
Kehadiran Dong Hai Jiu menjadikan empat kapal semuanya, termasuk kapal pencari Fugro Discovery (gambar), yang terlibat dalam operasi pencarian yang meliputi 120,000 meter persegi lantai Lautan Hindi. -Gambar fail
China mengesahkan akan membekal kapal sonar kepada Australia bagi misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss, China menawarkan kapal Dong Hai Jiu 101 kepada Perdana Menterinya Malcolm Turnbull pada November lalu, lapor Reuters.
Kapal tersebut akan mula menyertai operasi pencarian di selatan Lautan Hindi pada penghujung Februari ini.
Ketika ini, China menganggarkan jumlah sumbangan mereka dalam pencarian itu adalah US$20 juta.
Kehadiran Dong Hai Jiu menjadikan empat kapal semuanya yang terlibat dalam operasi pencarian yang meliputi 120,000 meter persegi lantai Lautan Hindi.
Kapal ini dijangka akan bertolak dari Singapura ke Australia 31 Januari ini dan dikendalikan oleh Phoenix International Holdings dan Hydrospheric Solutions.
Sebelum ini, sebuah bot berkelengkapan sonar milik Australia telah karam ketika dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kerana berlanggar dengan gunung berapi dasar laut, pada Ahad lalu.
Bot atau kenderaan sonar dikenali sebagai 'towfish' yang dipasangkan pada kapal pencari Fugro Discovery dilaporkan ‘hilang’ selepas terlanggar gunung berapi setinggi 2,200 meter itu.
Hampir dua tahun, pesawat MAS penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Pada 29 Januari 2015, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.
#dong hai jiu #Kapal sonar China #Lautan Hindi #Malaysia Airlines #MH370 #misi pencarian pesawat
;