Pencarian diteruskan kesan 17 kelasi Thailand yang masih hilang

Bernama
Disember 25, 2022 05:15 MYT
Tentera laut, tentera udara dan angkatan tentera mengerahkan aset termasuk kapal, helikopter dan pesawat untuk menjalankan misi pencarian. - Foto Twitter BERNAMA
BANGKOK: Pasukan penyelamat Thailand meneruskan operasi pencarian 17 lagi kelasi yang masih hilang selepas kapal tentera laut karam di Teluk Thailand Ahad lalu.
Pada Sabtu, pasukan penyelamat menemukan mayat enam kelasi HTMS Sukhothai yang hanyut di laut Bang Saphan, Prachuap Khiri Khan.
Komander Tentera Laut Thailand Pichai Lorchusakul berkata bedah siasat dan pengecaman akan dijalankan bagi mengesahkan identiti mangsa dan dijangka mengambil masa tiga hingga empat hari.
"Sehingga kini, terdapat 17 kelasi masih hilang," katanya.
Pada 18 Dis, HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin dan karam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan pada 11.30 malam (waktu tempatan).
Seramai 76 kelasi telah diselamatkan setakat ini.
BACA: Kapal perang Thailand karam: Tiada mangsa baharu ditemukan, kawasan pencarian diperluas
BACA: Misi mencari 23 kelasi yang hilang diteruskan
*Pichai berkata tentera laut, tentera udara dan angkatan tentera telah mengerahkan aset termasuk kapal, helikopter dan pesawat untuk menjalankan misi pencarian.
"Agensi kerajaan, sektor swasta, nelayan tempatan serta penyelam turut menyertai misi pencarian bagi mengesan kelasi yang masih hilang," katanya.
-- BERNAMA
#kelasi Thailand hilang #kapal tentera laut karam
;