Pencapaian bersejarah: Saintis hasilkan telur manusia dalam makmal

Reuters
Februari 9, 2018 12:57 MYT
Para saintis dari Britain dan Amerika Syarikat berjaya hasilkan telur manusia dari peringkat awal sehingga matang sepenuhnya di dalam makmal - Foto Reuters
Para saintis dari Britain dan Amerika Syarikat berjaya menghasilkan telur manusia buat pertama kalinya dalam makmal, dari peringkat tisu ovari sehinggalah ia matang sepenuhnya.
Proses sama sebelum ini pernah dibuat tetapi menggunakan tikus sebagai bahan uji kaji.
Saintis berkenaan yang menerbitkan hasil kajian mereka dalam jurnal Molecular Human Reproduction memaklumkan, kejayaan mereka ini satu hari nanti akan membantu terapi ubat regenaratif dan rawatan kemandulan.
Dalam kajian terdahulu, saintis-saintis menghasilkan telur tikus di dalam makmal dari saat haiwan itu mengeluarkan benih.
Kajian juga pernah berjaya mematangkan telur manusia daripada peringkat pertumbuhan yang lewat.
Hasil kajian terbaru ini, yang dilaksana saintis di dua pusat kajian, melibatkan sebuah hospital di Edinburgh dan Pusat Pembiakan Manusia di New York, pertama kali melibatkan penghasilan telur di luar badan manusia dari peringkat awal sehingga ia matang sepenuhnya.
"Kemampuan menghasilkan telur manusia sepenuhnya di makmal akan meluaskan skop rawatan kesuburan. Kami kini mengoptimiumkan keadaan yang boleh menyokong pertumbuhan telur dengan kaedah ini dan mengkaji bagaimana tahap kesihatannya," menurut Evelyn Telfer, salah seorang saintis.
Pakar bebas yang tidak terlibat secara langsung dengan kajian ini memuji kejayaan saintis ini, tetapi memberi peringatan, masih banyak yang perlu dilakukan sebelum telur manusia yang dihasilkan di dalam makmal, boleh disenyawakan dengan sperma.
"Data awal mencadangkan, ia boleh dilaksanakan di masa depan," kata Ali Abbara, Pensyarah Klinikal Kanan dalam bidang Endokrinologi, di Kolej Imperial London.
"Tetapi, teknologi ini masih di peringkat awal dan kita perlu memastikan teknik yang terlibat adalah selamat sebelum kita meneruskan dengan proses selanjutnya," jelasnya lagi.
Sementara itu, Profesor bidang genetik di Universiti Kent, UK, memaklumkan hasil kajian ini sebagai satu pencapaian membanggakan.
"Sekiranya kadar kejayaan dan keselamatan dipertingkatkan, ia boleh membantu pesakit kanser yang mahu membekukan benih mereka sementara menjalani rawatan kimoterapi, meningkatkan rawatan kesuburan dan memperkukuh pemahaman saintifik dalam bidang biologi berhubung peringkat awal kehidupan manusia.
#AS #Kajian #kemandulan #London #New York #saintifik #saintis #technology #telur #WHO
;