Pencalonan Budi Gunawan, Jokowi tunggu keputusan Dewan Perwakilan Rakyat

Astro Awani
Januari 15, 2015 09:39 MYT
Pada Julai 2013, aset Budi (kiri) dilaporkan bernilai RP 22.66 bilion rupiah - Foto Twitter Lintas.me
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menunggu keputusan sidang Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR) berhubung pencalonan Komander Jeneral Budi Gunawan sebagai Ketua Polis Indonesia yang baru.
Pencalonan Budi ditunda pada Selasa setelah dinamakan sebagai salah seorang suspek kes rasuah oleh Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi Indonesia (KPK).
Jakarta Post melaporkan pada Rabu, Jokowi yang dalam satu sidang media memberitahu keputusan akan diumumkan sebaik sahaja DPR menyatakan pendirian politiknya pada penamaan Budi.
Pada masa yang sama, beliau akan turut mengambil kira saranan Suruhanjaya Polis Indonesia (Kompolnas) mengenai perkara itu.
“Kami menghormati proses undang-undang yang dijalankan KPK dan memberi laluan kepada proses politik yang masih dijalankan di Dewan Perwakilan.
Keputusan akan saya beritahu sejurus selepas kami dapat keputusan DPR dan cadangan dari Kompolnas” kata Jokowi.
Penamaan Budi menjadi topik hangat apabila KPK mengisytiharkan Budi sebagai salah seorang suspek rasuah pada Selasa iaitu sehari sebelum Budi menjalani saringan di DPR.
Budi didakwa menerima rasuah semasa beliau menjadi Ketua Biro Pembangunan Kerjaya di Ibu Pejabat Polis di antara 2003 dan 2006.
Beliau adalah salah seorang daripada beberapa Jeneral polis yang dilaporkan mempunyai akaun bank yang mencurigakan pada tahun 2010.
Pada Julai 2013, aset Budi dilaporkan bernilai RP 22.66 bilion rupiah.
Pada Rabu, KPK telah meminta pejabat imigresen Indonesia untuk melarang Budi daripada meninggalkan negara.
Budi merupakan calon tunggal untuk mengisi jawatan Ketua Polis Indonesia bagi menggantikan Jenderal Polis Sutarman yang bakal tamat perkhidmatannya Oktober ini.
#Budi Gunawan #Joko Widodo #Jokowi #Ketua Polis Indonesia
;