Penasihat White House ketuai delegasi Israel ke Maghribi
Astro Awani
Disember 22, 2020 06:58 MYT
Disember 22, 2020 06:58 MYT
RABAT: Penasihat White House, Jared Kushner mengetuai delegasi dari Israel ke Maghribi pada Selasa.
Lawatan itu dilakukan menerusi penerbangan rasmi pertama di antara kedua negara sejak mencapai kata putus menormalisasikan hubungan diplomatik.
Kushner yang juga menantu Presiden AS, Donald Trump, antara individu utama yang berusaha menjalinkan hubungan diplomatik baharu antara negara-negara Arab dan Israel.
Maghribi menjadi negara keempat dalam rancangan itu yang digelar "Abraham Accords" selepas Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan.
“Pembaharuan hubungan antara Israel dan Maghribi adalah berita baik buat rakyat Israel dan Maghribi, tetapi ia juga berita baik untuk seluruh Asia Barat kerana ia menghantar mesej keamanan kepada rantau ini yang sering terkenal untuk konflik dan peperangan.
“Apa yang kami cuba cari adalah jalan untuk kerjasama, bagi tujuan diplomasi serta untuk budaya, pengkomersialan dan pelancongan.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Maghribi dibenarkan mengilhak Sahara Barat oleh Amerika, walaupun ia tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata wakil Kementerian Luar Negeri Israel, Lior Haiat.
Pemerhati bagaimanapun berpandangan langkah itu akan menyebabkan ketidakstabilan di rantau tersebut yang sudah mendepani cabaran lain seperti pemberontakan dan pemerdagangan migran.
Arab Saudi dilapor turut menunjukkan sokongan kepada keputusan Maghribi dan dilihat akan menjadi negara terbaharu dalam perjanjian Abraham Accords.
Pelan itu antara legasi dasar luar negara paling signifikan yang ditinggalkan Trump yang juga dialu-alukan bakal Presiden AS, Joe Biden.
#Donald Trump
#PBB
#AS
#White House
#Israel
#Joe Biden
#Jared Kushner
#Israel ke Maghribi
#Abraham Accords