Penasihat Kanan White House pula positif COVID-19

Astro Awani
Oktober 7, 2020 09:35 MYT
Miller berkata, sejak lima hari lalu beliau bekerja dari rumah dan mengasingkan diri sebelum disahkan positif pada Selasa. - Gambar fail REUTERS
PENASIHAT Kanan White House, Stephen Miller menjadi pegawai terbaharu yang dilaporkan positif COVID-19 sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangkiti virus tersebut minggu lalu.
Kes terbaharu itu menyusul selepas White House dilihat berusaha untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 selepas Trump disahkan positif pada Jumaat lalu.
Miller yang juga penulis ucapan Trump berkata, sejak lima hari lalu beliau bekerja dari rumah dan mengasingkan diri sebelum disahkan positif pada Selasa.
Sebelum ini, ujian yang dijalaninya berhubung COVID-19 adalah, negatif.
"Hari ini (Selasa), saya disahkan positif dan sedang menjalani kuarantin," demikian katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor media antarabangsa.
Sementara isteri Miller, Katie Miller, yang merupakan jurucakap kepada Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, telah disahkan positif COVID-19 sejak Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Setiausaha Akhbar White House, Brian Morgenstern memaklumkan tiada kes COVID-19 baharu dikesan di kompleks pentadbiran itu selain kes melibatkan Miller.
Terdahulu, Trump dilaporkan kembali ke White House pada Isnin selepas tiga hari menjalani rawatan di sebuah hospital tentera.
Presiden itu menggesa warga AS agar tidak takut dan membiarkan COVID-19 menguasai kehidupan mereka.
Setakat ini, lebih 210,000 kematian berkait COVID-19 direkodkan di negara Uncle Sam itu.
#Donald Trump #AS #Amerika Syarikat #COVID-19 #Stephen Miller #Katie Miller #Brian Morgenstern #Amerika Syarikat kematian #Rumah Putih #Trump COVID-19 #White House #penasihat kanan
;