Penarikan semula bantuan ekonomi beri kesan kepada pemulihan - IMF

Astro Awani
Oktober 16, 2020 09:00 MYT
IMF menggesa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan China menambah pelan rangsangan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi global. - REUTERS
GENEVA: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran penarikan semula bantuan ekonomi terlalu pantas akan memberikan kesan kepada pemulihan.
Dalam masa yang sama, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva menggesa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan China menambah pelan rangsangan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi global.
Tambahnya, pemulihan yang pantas bergantung kepada kerjasama kukuh untuk bangun dan mengedarkan vaksin COVID-19.
Ini dijangka menambah sekitar AS$9 trilion kepada pendapatan dunia pada 2025.
“Pertama, teruskan dengan langkah penting untuk melindungi nyawa dan pendapatan. Penting untuk meningkatkan langkah kesihatan utama termasuk langkah rangsangan dan monetari bersasar untuk isi rumah dan syarikat.
"Jadi mesej IMF jelas, jauhkan dari menarik keluar bantuan ini terlalu cepat. Jika ini berlaku ada risiko masalah akan berlaku.
“Kedua adalah membina ekonomi yang lebih kukuh dan inklusif.
"Ketiga, menguruskan hutang. Hutang awam global dijangka mencecah 100 peratus KDNK pada 2021.
"Ini kerana negara perlu meminjam untuk meningkatkan perbelanjaan untuk menangani krisis ini dan memulihkan ekonomi.
“Bagi negara yang berdepan masalah untuk menguruskan hutang, mereka harus bertindak pantas dan penstrukturan semula hutang mungkin antara penyelesaian,” katanya.
Sehingga kini AS telah mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$3 trilion dan ekonomi terbesar dunia itu masih lagi cuba untuk meluluslan pakej rangsangan terbaharu.
Georgieva yakin AS akan meluluskan pakej berkenaan.
Sebelum ini, IMF mengumumkan ekonomi global akan menguncup 4.4 peratus pada 2020. Ini adalah 0.8 peratus lebih baik daripada unjuran yang dibuat pada Jun.
Namun, katanya, negatif 4.4 peratus adalah penguncupan terbesar sejak The Great Depression.
Pada krisis kewangan 2008, ekonomi dunia menguncup 0.1 peratus.
#IMF #COVID-19 #Dana Kewangan Antarabangsa #penarikan semula bantuan ekonomi #KDNK #Kristalina Georgieva #pelan rangsangan #pertumbuhan ekonomi global #pendapatan dunia
;