Penamatan pemutus rantaian satu kelegaan namun tetap ada risiko - PM Singapura
Bernama
Jun 1, 2020 21:09 MYT
Jun 1, 2020 21:09 MYT
Satu kelegaan besar untuk semua, namun tentunya ia bukanlah tanpa risiko, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, berkaitan lebih banyak langkah pemutus rantaian yang akan ditarik balik bermula esok (2 Jun), menyaksikan pembukaan semula tiga perempat sektor ekonomi dan satu pertiga pekerja kembali bekerja.
"Jumlah kes harian dalam komuniti telah menurun dengan ketara. Lebih ramai pesakit kini pulih dan telah didiscaj berbanding dengan mereka yang masih menerima rawatan. Bagaimanapun, masih jauh lagi untuk COVID-19, dihapuskan," kata Lee dalam hantaran terkini Facebooknya.
Sehingga tengah hari ini (Isnin), Singapura mengesahkan 408 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes 35,292 dengan kesemua kes baru melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, dan tiada kes melibatkan komuniti. Sejumlah 21,699 pesakit atau kira-kira 63 peratus daripada jumlah semalam 34,884, telah pulih sepenuhnya.
Dengan ramai yang mahu untuk bertemu rakan-rakan di sekolah, melawat ibu bapa dan atuk serta nenek, Lee menasihatkan yang mereka perlu terus untuk 'berhati-hati' dan 'berjaga-jaga'.
"Teruskan berjaga-jaga. Kekalkan jarakan selamat, pakai pelitup muka ketika di luar dan di tempat kerja, jaga kebersihan diri dan kerap basuh tangan. Elakkan tempat ramai orang dan perhimpunan.
"Jika kita lakukan semua ini, kehidupan akan dapat berlangsung lebih atau kurang normal, selepas pemutus rantaian. Kita tidak mahu kes COVID-19 meningkat semula, dan terpaksa diperketatkan semula," katanya.
"Walaupun selepas vaksin ditemui, kesemuanya tidak akan dengan mudahnya kembali seperti sebelumnya. COVID-19 telah mendedahkan betapa rapuhnya gaya hidup kita. Tetapi ia juga telah memberikan kita peluang, untuk membuktikan ketersediaan kita, dan menjadi lebih kuat," katanya.
Dengan berakhirnya pemutus rantaian lapan minggu yang bermula 7 April, Perdana Menteri Singapura telah sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, kerana melaksanakan peranan mereka, sehingga negara itu kini boleh dibuka semula dengan selamat.
"Kita semua perlu terus lakukannya bersama-sama. Jangan biarkan pengorbanan petugas kesihatan kita dan kesemua yang lain yang mengekalkan Singapura selamat, menjadi sia-sia," katanya sebelum mengakhiri hantarannya dengan tanda namanya LHL.
Republik itu akan mulakan langkah terkawal, bagi memulakan semula aktiviti secara selamat menerusi tiga fasa iaitu, Fasa Pertama (Pembukaan Semula Secara Selamat) yang dirancang dilakukan dalam dua tempoh inkubasi; diikuti dengan Fasa Dua (Transisi Selamat) dan Fasa Tiga (Negara Selamat).
Singapura pada 26 April mengumumkan belanjawan keempatnya yang dinamakan 'Fortitude Budget' bernilai S$33 bilion, bagi fasa seterus mereka dalam memerangi COVID-19.
Dalam tempoh empat bulan, Singapura telah membentangkan empat belanjawan, yang pertama belanjawan tahunan biasa 'Unity Budget' S$10.9 bilion pada 18 Feb, diikuti 'Resilience Budget' (S$48 bilion) pada 26 Mac dan 'Solidarity Budget' (S$5.1 bilion) pada 6 April.
-- BERNAMA
#COVID-19
#langkah pemutus rantaian
#penjarakan sosial
#sekatan pergerakan
#sektor ekonomi
#Singapura
#tenaga kerja