Penahanan perlu untuk pastikan Duterte hadir dalam siasatan - ICC
Bernama
Mac 11, 2025 23:44 MYT
Mac 11, 2025 23:44 MYT
Dalam waran tangkap yang dikeluarkan pada 7 Mac, kamar praperbicaraan ICC menyatakan bahawa Duterte, yang menamatkan tempoh enam tahunnya sebagai presiden pada 2022 "kelihatan terus memiliki pengaruh yang besar." - Gambar fail/REUTERS
MANILA: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden Rodrigo Duterte untuk memastikan kehadirannya di hadapan tribunal itu berhubung siasatan ke atas "perang melawan dadah" yang dilancarkannya, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Ringkasan AI
- Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden Filipina Rodrigo Duterte atas siasatan perang melawan dadah.
- ICC menegaskan Duterte masih berada dalam bidang kuasa mereka walaupun Filipina telah menarik diri daripada mahkamah itu pada 2019.
- Waran tangkap dikeluarkan berhubung pembunuhan 43 individu yang dikaitkan dengan operasi anti-dadah semasa Duterte menjadi datuk bandar dan presiden.
Dalam waran tangkap yang dikeluarkan pada 7 Mac, kamar praperbicaraan ICC menyatakan bahawa Duterte, yang menamatkan tempoh enam tahunnya sebagai presiden pada 2022 "kelihatan terus memiliki pengaruh yang besar."
"Selepas menilai maklumat yang dikemukakan oleh pihak Pendakwaan, Kamar menerima bahawa tiada jangkaan munasabah bahawa beliau akan mematuhi saman untuk hadir yang dikeluarkan oleh Mahkamah," menurut waran itu.
"Dengan mengambil kira risiko gangguan terhadap siasatan serta keselamatan saksi dan mangsa, Kamar berpuas hati bahawa penahanan Duterte adalah perlu bagi memastikan kehadirannya di hadapan Mahkamah
Kamar itu sedang menyiasat Duterte atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung kematian yang dikaitkan dengan perang dadahnya semasa beliau menjadi Datuk Bandar Davao City dan kemudiannya Presiden Filipina.
Beliau ditahan pada pagi Selasa sejurus ketibaannya dari Hong Kong.Sementara itu, Kamar turut menegaskan bahawa walaupun Filipina telah menarik diri daripada ICC pada 17 Mac 2019, mahkamah itu masih mempunyai bidang kuasa terhadap dakwaan jenayah yang berlaku ketika Filipina masih menjadi negara pihak kepada Statut Rom, khususnya dari 1 November 2011 hingga 16 Mac 2019.
Kamar ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Duterte berhubung pembunuhan 19 individu yang didakwa sebagai pengedar dadah atau pencuri oleh Davao Death Squad (DDS) di beberapa lokasi di Davao City ketika beliau menjadi datuk bandar.
Waran itu turut merangkumi pembunuhan 24 individu yang dipercayai pengedar dadah, pencuri atau penagih dadah semasa tempoh Duterte sebagai presiden.
-- BERNAMA