Penagih dadah temui ajal curi kabel elektrik
Sinar Harian
September 7, 2023 09:00 MYT
September 7, 2023 09:00 MYT
BANGKOK: Seorang lelaki Thailand berusia 24 tahun ditemui mati selepas terkena kejutan elektrik semasa percubaan mencuri di Daerah Pho Chai di Nong Khai.
Leftenan Polis Yutthana Ngamchad berkata, seorang doktor dari Hospital Nong Khai dan pasukan penyelamat Chaba 191 telah dihantar ke tempat kejadian pada 4 September selepas menerima panggilan daripada saksi kejadian.
Mangsa, Aphitsak adalah seorang penduduk daerah Pho Chai ditemui terbaring kaku menghadap ke bawah dengan pemotong wayar di tangan kirinya yang disambungkan ke wayar elektrik.
Akhbar Sanook melaporkan, punca kematiannya disebabkan oleh kejutan elektrik di telapak tangan kirinya dan dia telah mati tidak kurang dari enam jam ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
Saksi kejadian, Chatipon berkata, dia orang adalah yang pertama menemui mayat tersebut ketika memeriksa pam air sekitar jam 7.30 pagi (waktu tempatan).
Lelaki berusia 45 tahun itu menjelaskan bahawa pam digunakan menarik air dari kolam ke menara tangki. Namun, hujan pada tengah malam menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Dia menemui gulungan wayar elektrik dan mayat Aphitsak yang juga seorang penagih dadah dalam kampung tersebut.
Aphitsak tinggal bersama bapanya dan dia disyaki cuba mencuri wayar elektrik untuk menjualnya bagi membeli dadah. - Sinar Harian memetik agensi