Pemulihan hijau Asia Tenggara boleh wujudkan peluang pelaburan RM760 bilion setiap tahun
Bernama
Julai 6, 2022 12:51 MYT
Julai 6, 2022 12:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pemulihan hijau daripada kesan pandemik COVID-19 di Asia Tenggara berpotensi mewujudkan peluang pelaburan tahunan bernilai AS$172 bilion (RM760.2 bilion) selain menjana lebih 30 juta pekerjaan menjelang 2030, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB).
Menurut kenyataan pada Rabu, ADB menjelaskan laporan terbaru itu mengenal pasti lima bidang yang menyokong pemulihan pasca-COVID-19 menerusi pembangunan lebih hijau.
Bidang itu adalah pertanian yang produktif dan boleh jana semula; lautan yang sihat dan produktif; model pembangunan dan pengangkutan bandar yang mampan; model ekonomi sirkular serta tenaga boleh baharu dan kecekapan, tambahnya.
Ketua Pengarah bagi Asia Tenggara ADB, Ramesh Subramaniam berkata, laporan ini menekankan keutamaan dasar utama untuk ekonomi di rantau ini yang boleh membantu memastikan aspirasi sosioekonomi dan alam sekitar dilaksanakan dalam usaha mereka untuk memulihkan ekonomi.
"Walaupun beberapa negara di rantau ini telah mula menyokong pemulihan hijau, banyak lagi yang perlu dilakukan.
"Kita perlu menggalakkan rangsangan hijau tambahan, mereka bentuk skim harga karbon, mengurangkan pergantungan kepada kuasa berintensifkan bahan api fosil selain menarik pelabur sektor swasta ke dalam projek tenaga boleh baharu berskala besar, pengangkutan mampan dan bandar yang bersih," katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut ADB pemulihan hijau daripada COVID-19 adalah penting untuk memastikan masa depan yang berdaya tahan dari segi ekonomi dan alam sekitar.
Tanpa tindakan bersepadu untuk menangani krisis alam sekitar akibat perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, prospek pertumbuhan jangka panjang rantau ini boleh terhalang, jelasnya.
Ia menambah, pilihan dasar lain yang dikenal pasti dalam laporan itu termasuk mempergiat penyelidikan mengenai teknologi hijau, menggalakkan usahawan wanita untuk mengambil bahagian dalam peluang perniagaan hijau di samping menguruskan biodiversiti dengan lebih baik melalui sistem data terbuka dan bersepadu.
"Bagi melaksanakan pemulihan hijau, kerajaan-kerajaan Asia Tenggara juga perlu mengenal pasti sumber pembiayaan mampan yang akan membiayai pelaburan infrastruktur mesra iklim dan memanfaatkan peluang pertumbuhan hijau," menurutnya.
Menurut laporan itu, pendekatan pembiayaan perlu meliputi langkah menggerakkan sumber domestik melalui cukai alam sekitar dan karbon, mengurangkan subsidi untuk bahan api fosil, menggerakkan pelabur swasta dengan menangani risiko berkaitan pelaburan hijau, dan memanfaatkan kewangan awam dan swasta melalui dana hijau seperti Kemudahan Kewangan Hijau Mangkin ASEAN.
-- BERNAMA