Pemulihan ekonomi AS kini lebih kukuh dan mampan - Joe Biden
Astro Awani
September 3, 2021 07:11 MYT
September 3, 2021 07:11 MYT
WASHINGTON: Walaupun terdapat kesan akibat varian Delta COVID-19, namun pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dilihat kukuh dan mampan.
Perkara itu sekali gus dianggap Presiden AS Joe Biden sebagai pelan yang berjalan dengan sangat lancar.
"Walaupun saya tahu ada yang ingin melihat jumlah yang lebih besar hari ini dan begitu juga saya, apa yang kita lihat tahun ini adalah pertumbuhan berterusan dari bulan ke bulan dalam penciptaan pekerjaan.
"Bukan itu sahaja, saya telah menambah lebih banyak pekerjaan berbanding mana-mana presiden pada tahun pertama.
"Upah juga meningkat. Ini adalah pertumbuhan yang menjadikan ekonomi kita lebih kuat dan mampan secara konsisten.
"Ekonomi kita berkembang pada separuh pertama tahun ini dengan kadar terpantas dalam tempoh lebih kurang 40 tahun.
"Kita satu-satunya negara maju di dunia yang ekonominya kini lebih berkembang berbanding ketika sebelum pandemik," kata Biden.
Majikan di AS menambah 235,000 pekerjaan pada bulan Ogos.
Ini dianggap keuntungan sederhana selepas dua bulan pengambilan pekerja yang tinggi ketika penularan varian Delta yang mendorong beberapa individu tidak melakukan perjalanan, membeli-belah dan makan di luar.
Kadar pengangguran turun kepada 5.2 peratus berbanding 5.4 peratus pada bulan Julai.
Kenaikan pekerjaan bulan Ogos yang dilaporkan kerajaan jauh lebih rendah daripada kenaikan besar pada bulan Jun dan Julai iaitu kira-kira 1 juta sebulan.
Kenaikan tersebut disemak lebih tinggi dengan gabungan 134,000.
Kenaikan pada Jun dan Julai berikutan vaksinasi yang meluas membolehkan ekonomi dibuka sepenuhnya ketika pandemik.