Pemukiman Menteri Luar perkukuh hubungan negara ASEAN - Anifah
Astro Awani
Februari 25, 2016 17:33 MYT
Februari 25, 2016 17:33 MYT
Sesi Pemukiman Menteri Luar Negeri ASEAN dilihat peluang perbincangan hala tuju pembinaan Komuniti ASEAN serta pelaksanaan keputusan yang diambil pada pertemuan yang terdahulu.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia medan rakan sejawatnya dari negara ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta cara-cara bagi mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dialognya.
"Saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang akan diadakan di Vientiane, Laos pada 26 sehingga 27 Februari.
"Sesi Pemukiman ini akan didahului oleh beberapa mesyuarat penting termasuklah Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN dan disusuli Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN pada 26 Februari 2016. Laos merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2016.
Sesi Pemukiman ini akan melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar Negeri, pegawai-pegawai kanan dari Negara-Negara Anggota ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan pegawai-pegawai kanan dari Sekretariat ASEAN di Jakarta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu jelas Anifah, ia merupakan mesyuarat pertama Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN setelah penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember lalu dan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Laos.
"Pemukiman ini akan membuka ruang Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta cara-cara bagi mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialognya.
"Saya juga akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Vientiane, Laos pada 28 Februari. Semasa lawatan tersebut, saya akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan, TYT Dr. Thongloun Sisoulith, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Laos.
"Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan mengenai kemajuan kerjasama dua hala sedia ada dan cara-cara untuk mengukuhkannya bagi faedah kedua-dua buah negara. Di samping itu, kedua-dua Menteri dijangka akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," katanya.
Selain itu Anifah juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Laos TYT Thongsing Thammavong untuk perbincangan mengenai isu-isu semasa kedua-dua negara.