Pemuda mengamuk lamaran dengan Lamborghini ditolak mentah-mentah

Sinar Harian
Oktober 28, 2018 23:26 MYT
Lamaran lelaki ditolak walaupun hadiahkan Lamborghini. -Foto Sinar Harian
"Kalau awak ada duit pun, ada saya kisah?".
Itu kata-kata seorang wanita setelah menolak lamaran perkahwinan dari teman lelaki kaya dari Selatan China di pusat membeli belah Plaza di Changsha, wilayah Hunan.
Klip video lamaran itu tular di media sosial kerana pengakhiran kisahnya penuh dramatik.
Memetik portal NextShark, lelaki itu sanggup membeli sebuah kereta Lamborghini berwarna jingga dan menghadiahkan kepada teman wanitanya.
Menerusi klip itu, pelbagai persediaan telah dilakukan di lokasi itu dengan dihiasi belon, jambangan bunga ros merah, percikan bunga api dan sebuah kereta Lamborghini untuk memberi kejutan kepada teman wanita.
"Saya beli kereta kegemaran awak, saya ada duit, saya boleh beli apa sahaja yang awak suka. Kahwini saya!," katanya.
Namun apa jua yang dikatakan oleh lelaki itu tidak didengari malah wanita berkenaan terus beredar meninggalkan lokasi tersebut.
Susulan itu, lelaki terus bertindak membaling jambangan bunga ke arah jurukamera dan memusnahkan beberapa replika di lokasi berkenaan.
Rata-rata netizen bersimpati atas apa yang berlaku namun bersetuju dengan tindakan wanita itu kerana wang bukan segalanya.
Malah netizen tidak terkejut lamaran itu ditolak kerana sikap panas baran lelaki yang dipamerkan dalam klip serta menyatakan kemewahan tidak boleh membeli kasih sayang.
#Changsha #China #jambangan bunga #jingga #Lamborghini #perkahwinan #replika
;