Pemuda dibunuh gara-gara hubungan sulit dengan wanita dan anak gadisnya
Faida Rahim
Oktober 9, 2022 12:14 MYT
Oktober 9, 2022 12:14 MYT
KOLKATA: Tujuh individu ditahan atas dakwaan membunuh seorang lelaki berusia 21 tahun di mana mayatnya ditemui di sebuah belukar di Mograhat, India.
Memetik laporan Indian Express, mangsa yang dikenali sebagai Ayan Mondal berasal dari Haridevpur dibunuh pada Rabu malam selepas dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan seorang gadis serta ibunya.
Kejadian mula disedari keluarga Mondal selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah selepas beberapa hari seterusnya pihak polis India menemui mayatnya di daerah Parganas 24 Selatan pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, polis memaklumkan individu yang ditahan termasuk gadis, ibu, bapa, abang, dua rakan serta pemandu yang membawa mayat ke Mograhat.
Difahamkan, ibu gadis berkenaan telah melakukan rancangan membunuh Mondal manakala bapanya mengalihkan mayat ke suatu lokasi lain.
“Pemuda itu mempunyai hubungan sulit dengan gadis dan juga ibunya.
"Ini mengakibatkan pergaduhan antara mereka. Pemuda itu dibunuh dan mayatnya dibuang di tempat terpencil di Mograhat,” kata pegawai kanan Polis Kolkata.
Tambah pihak polis, Mondal datang ke rumah gadis itu pada Rabu malam dalam keadaan mabuk.
“Ketika mangsa masuk ke dalam rumah, berlaku pertengkaran antara dia dan ibu gadis itu. Tidak lama kemudian, gadis, bapa dan abangnya tiba di tempat kejadian.
“Ketika pergaduhan berlaku, abangnya bertindak memukul Mondal di kepala menggunakan objek berat dan tumpul yang mungkin menyebabkan kematiannya.
"Mayat telah dihantar untuk bedah siasat dan kami sedang menunggu laporan selesai,” katanya.