Pempengaruh maut ditikam ketika 'live' berjalan kaki di Tokyo
Sinar Harian
Mac 16, 2025 10:30 MYT
Mac 16, 2025 10:30 MYT
Airi (gambar kecil) ditikam oleh Kenichi berhampiran Stesen Takadonababa di Shinjuku Ward sekitar jam 9.50 pagi. - Foto Kyodo News
TOKYO: Seorang pempengaruh media sosial maut ditikam oleh seorang lelaki ketika sedang bersiaran langsung sambil berjalan kaki di Jepun pada Selasa lalu.
Menurut Kyodo News, suspek, Kenichi Takano, 42, mendakwa mangsa, Airi Sato, 22, berhutang sebanyak 2 juta yen (RM59,828) dan tidak dapat menerima hakikat bahawa Airi memperoleh wang yang banyak tanpa membayarnya kembali.
Airi atau lebih dikenali sebagai Ai Mogami, ditikam berhampiran Stesen Takadanobaba di Shinjuku Ward sekitar jam 9.50 pagi.
Rakaman siaran langsung selepas serangan itu tersebar di aplikasi X, dengan bunyi siren polis jelas kedengaran sebelum siaran itu terhenti secara tiba-tiba.
Beberapa saksi di tempat kejadian berkata mereka mendengar Airi menjerit meminta pertolongan dan turut menyaksikan serangan yang menyebabkan tubuh mangsa berlumuran darah.
Memetik The Japan Times, pihak polis telah menahan suspek di tempat kejadian dan Kenichi mengakui menjejaki lokasi Airi menerusi siaran langsungnya.
“Malam sebelum kejadian, saya melihat pengumuman bahawa Airi akan melakukan siaran langsung sambil berjalan di sekitar Tokyo pada Selasa, jadi saya memutuskan untuk ke Tokyo pada keesokan paginya,” kata suspek.
Pihak polis tempatan pula berkata, pasukan kecemasan menemui mangsa dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala, leher dan perut.
Mangsa dibawa ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek menikam mangsa dengan sebilah pisau berulang kali.
“Kenichi bertindak demikian selepas Airi gagal membayar hutang lebih 2 juta yen,” ujarnya. - Sinar Harian