Pemindahan jantung: DNA virus haiwan ditemui pada jantung babi

AP Newsroom
Mei 11, 2022 13:14 MYT
David Bennett Sr. meninggal dunia pada Mac, dua bulan selepas menerima jantung khinzir. - University of Maryland School of Medicine via AP
PASUKAN penyelidik yang sedang cuba mengenal pasti punca kematian manusia pertama yang menerima jantung babi, telah menemui virus haiwan tetapi belum dapat memastikan sama ada ia memainkan peranan dalam kematian lelaki itu.
Lelaki berkenaan, David Bennett Sr., 57, meninggal dunia pada Mac, dua bulan selepas pemindahan jantung dijalankan. Doktor di Universiti Maryland minggu lalu memaklumkan mereka menemui DNA virus di dalam jantung babi tersebut.
Mereka bagaimanapun tidak menemui tanda ia menyebabkan jangkitan aktif.
Tetapi kebimbangan utama mengenai pemindahan organ haiwan ke manusia ialah risiko ia boleh membawa jangkitan baharu kepada manusia.
"Sesetengah virus adalah "terpendam", bermaksud ia tersembunyi tanpa menyebabkan penyakit, dan ia boleh menjadi pembawa," kata Dr Bartley Griffith, pakar bedah yang melakukan pemindahan Bennett, kepada The Associated Press.
"Namun, kajian dan ujian yang lebih canggih sedang diusahakan untuk memastikan kita tidak terlepas pandang, " tambah Dr Muhammad Mohiuddin, pengarah saintifik program xenotransplant universiti itu.
Virus haiwan itu pertama kali dilaporkan oleh MIT Technology Review, memetik kajian saintifik yang diberikan Griffith kepada Persatuan Pemindahan Organ Amerika bulan lepas.
Pasukan penyelidik berkata khinzir penderma itu sihat, telah lulus ujian yang oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) dari aspek pemeriksaan jangkitan, dan diternak di fasiliti yang direka untuk menghalang haiwan daripada menyebarkan jangkitan.
Teknologi Perubatan | Lelaki guna jantung babi meninggal dunia
Revivicor, syarikat yang menyediakan haiwan itu, bagaimanapun enggan mengulas.
Griffith berkata keadaan kesihatan Bennet Sr sebelum pembedahan pemindahan sangat kritikal, namun telah pulih pada kadar yang agak baik selepas itu, sebelum mula mempamerkan beberapa simptom yang menyamai jangkitan.
Doktor menjalankan banyak ujian untuk cuba memahami punca, dan memberikan Bennett pelbagai antibiotik, ubat antivirus dan rawatan meningkatkan imun tetapi jantung yang diterimanya mula membengkak, dipenuhi dengan cecair dan akhirnya berhenti berfungsi.
#jantung khinzir #jangkitan #DNA #virus #David Bennett Sr #Babi #jantung babi
;