Pemimpin tentera pertahan langkah rampasan kuasa

Astro Awani
Oktober 26, 2021 06:55 MYT
Anggota tentera Sudan dikerah susulan tunjuk perasaan yang diadakan di Khartoum. - Foto AP
KHARTOUM: Pemimpin tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan mempertahankan rampasan kuasa yang dilancarkan.
Kata beliau, rampasan kuasa perlu dilakukan untuk elak perang saudara.
Abdel Fattah juga memberitahu, Perdana Menteri Abdallah Hamdok ditahan di kediamannya, atas faktor keselamatan.
Namun beliau didakwa sudah kembali ke kediaman rasminya.
Menurut Abdel Fattah, beliau membubarkan pentadbiran awam, menahan pemimpin politik dan mengisytiharkan darurat kerana tindakan parti politik seumpama melakukan provokasi terhadap pasukan keselamatan.
"Kami mengadakan tiga atau empat perbincangan dengan parti politik mengenai keperluan untuk tidak memeterai piagam perjanjian dan keperluan untuk penyatuan semula, tetapi kata-kata kami tidak diendahkan, dan kuasa politik ini kemudian mengumunkan piagam untuk menyatukan pengisytiharan kebebasan dan perubahan, yang mana badan ini sudah sedia wujud.
"Parti Revolusi dan Parti Umma adalah sebahagian anggota asal untuk kebebasan dan perubahan, tetapi mereka mencari keabsahan untuk melancarkan revolusi ke atas Sudan," katanya.
Sementara itu, protes di ibu negara Sudan, Khartoum memasuki hari kedua.
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut, sejak tentera mengambil alih pentadbiran.
Rampasan kuasa tentera ini meletakkan Sudan dalam ketidaktentuan.
Lapangan terbang ditutup, dan penerbangan sehingga Sabtu dibatalkan.
Kakitangan bank pusat melancarkan mogok dan doktor pula dilaporkan enggan bertugas di bawah pentadbiran tentera.
Pemimpin tentera dan kerajaan awam berbalah sejak Presiden Omar Al Bashir digulingkan pada 2019.
Perjanjian perkongsian kuasa antara tentera dan kerajaan awam sebelum ini diharap dapat mengembalikan Sudan ke pangkuan demokrasi, namun gagal.
Sudan sebelum ini dijadual mengadakan Pilihan Raya Umum pada Julai 2023.
#rampasan kuasa #tentera #Abdel Fattah Al Burhan #perang saudara
;