Pemimpin Singapura beri penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil
Bernama
Disember 6, 2015 19:56 MYT
Disember 6, 2015 19:56 MYT
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching, mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Diraja Johor di atas kemangkatan almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Ibrahim pada Sabtu.
Menerusi laman rasmi facebook, beliau turut menyatakan kekesalan kerana tidak dapat menghadiri istiadat pemakaman Tunku Abdul Jalil kerana perlu menghadiri Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Menurut Hsien Loong, beliau dan isterinya sedih atas kemangkatan putera Sultan Johor.
Tambahnya lagi, almarhum Tunku Abdul Jalil dikenang kerana sikap belas ihsan, kerja amal dan kecintaan beliau terhadap alam sekitar serta haiwan.
Hsien Loong berkata, beliau masih ingat bagaimana almarhum memberitahunya berkenaan kerja sukarela baginda di zoo Singapura dan betapa baginda gembira ketika bersiar-siar di Singapore Botanic Gardens.
Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Undang-undang dan Pemangku Menteri Dalam Negeri K Shanmugam memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor, di Istana Besar, Johor Baharu hari ini.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan juga mengirim perutusan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, bagi menyampaikan ucapan takziah atas kemangkatan Tunku Abdul Jalil.
Dalam surat beliau yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar di sini, Lee berkata: "Ho Ching dan saya amat sedih dengan kemangkatan putera tersayang Tuanku, Yang Mulia Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim.
"Kami ingin menyampaikan salam takziah kami kepada Tuanku, Raja Zarith (Sofiah) dan keluarga Tuanku.
"Tunku (Abdul) Jalil amat disenangi kerana sifat belas ihsan Almarhum, kerja amal Almarhum untuk masyarakat Johor dan polis serta kecintaan Almarhum terhadap alam sekitar dan haiwan.
"Saya masih ingat Almarhum menceritakan kepada kami tentang tugas amalnya di Zoo Singapura dan kisahnya bersiar-siar di Taman Botani kami. Almarhum akan dikenang sebagai putera raja yang sentiasa merendah diri serta rela berbakti dan berkhidmat untuk rakyat.
"Doa dan harapan kami sentiasa mengiringi Tuanku dan Raja Zarith serta rakyat Johor dalam menghadapi detik-detik memilukan ini," kata Lee.
Dalam suratnya pula, Balakrishnan berkata: "Saya sungguh sedih apabila mendapat perkhabaran tentang kemangkatan putera kesayangan Tuanku, Yang Mulia Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim.
"Tunku (Abdul) Jalil amat meminati dan sentiasa bermurah hati memberi sokongan kepada bidang seni, muzik, sukan dan alam sekitar. Sifat Almarhum yang mengambil berat serta prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik, menyentuh hati seluruh rakyat Johor. Pemergian Alhmarhum amat dirasai.
"Saya ingin mengutuskan doa dan ucapan simpati kepada Tuanku dan keluarga Tuanku serta rakyat Johor dalam menghadapi detik-detik yang memilukan ini," kata Balakrishnan.