Pemimpin seluruh Asia Barat berkabung atas pemergian Presiden UAE

Bernama
Mei 14, 2022 12:49 MYT
Sheikh Khalifa mula mengambil alih kuasa perlembagaan persekutuan sebagai presiden kedua UAE dan menjadi pemerintah ke-16 Emirat Abu Dhabi pada 3 Nov 2004. - Gambar fail/REUTERS
KAHERAH: Pemimpin di seluruh Asia Barat pada Jumaat menzahirkan kesedihan atas pemergian Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas bertahun-tahun menderita sakit, lapor Xinhua.
"Saya amat berdukacita atas kehilangan Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan," kata Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul-Gheit dalam satu kenyataan.
Sheikh Khalifa sering mengadakan kerjasama dengan negara-negara Arab dan mengutamakan hak serta kepentingan Arab dan akan senantiasa dikenang sebagai pemimpin yang mengutamakan perpaduan.
"Bagi pihak saya dan rakyat Mesir, saya mengucapkan takziah kepada kepimpinan serta rakyat UAE atas kehilangan besar itu," katanya.
BACA: Presiden UAE meninggal dunia: Agong titah bendera Pahang dikibar separuh tiang
Pengerusi pertubuhan pan-Arab itu mengisytiharkan perkabungan rasmi selama tiga hari dan bendera dikibarkan separuh tiang.
Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah turut mengucapkan takziah dan mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari, lapor Agensi Berita Kuwait (KUNA).
Negara-negara Arab dan Islam kehilangan seorang pemimpin hebat yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyatnya, katanya.
Kuwait akan mengibarkan bendera separuh tiang dan jabatan kerajaan cuti berkabung tiga hari mulai Jumaat.
Negara-negara Teluk yang berjiran, Bahrain dan Oman juga mengumumkan perkabungan rasmi tiga hari.
Presiden Lubnan Michel Aoun turut mengucapkan takziah dan Lubnan akan berkabung di seluruh negara.
Aoun berkata negara-negara Arab akan merindui Sheikh Khalifa yang sentiasa menyokong perjuangan Lubnan dan rakyat negara itu akan merindui keihklasannya.
Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE mengumumkan kematian Presiden pada Jumaat da mengesahkan perkabungan rasmi selama 40 hari dengan bendera di seluruh UAE dikibar separuh tiang, dan semua kementerian persekutuan dan tempatan, serta sektor swasta cuti berkabung selama tiga hari.
Sheikh Khalifa mula mengambil alih kuasa perlembagaan persekutuan sebagai presiden kedua UAE dan menjadi pemerintah ke-16 Emirat Abu Dhabi pada 3 Nov 2004, menggantikan mendiang bapanya Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.
-- BERNAMA
#presiden UAE #meninggal dunia #Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan #Emiriah Arab Bersatu #berkabung
;